Khamis, 25 Januari 2024 | 10:31am
Kereta kebal Israel berhampiran sempadan Semenanjung Gaza, hari ini. - Foto AFP
Kereta kebal Israel berhampiran sempadan Semenanjung Gaza, hari ini. - Foto AFP

Israel bedil pusat latihan PBB di Gaza

GAZA: Kereta kebal Israel membedil penempatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Khan Younis yang melindungi pelarian Palestin, pada Rabu.

Menurut PBB, serangan berkenaan yang menyebabkan berlaku korban besar-besaran.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan rejim Zionis yang sebaliknya, berkata mungkin serangan itu dilancarkan sendiri oleh pasukan pejuang Palestin, Hamas.

Pengarah Hal Ehwal Gaza untuk agensi PBB, UNRWA, Thomas White, berkata sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 75 cedera dalam bangunan yang menempatkan 800 orang.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, jumlah kematian mungkin lebih tinggi.

Katanya, halaman penempatan itu kemudahan PBB yang ditanda dengan jelas dan koordinatnya dikongsi dengan Pihak Berkuasa Israel seperti yang dilakukan untuk semua kemudahan UNRWA.

Beliau berkata, sekali lagi secara terang-terangan Israel mengabaikan peraturan asas perang.

Di Washington pula, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Vedant Patel, berkata AS kesal dengan serangan ke atas tempat latihan Khan Younis PBB.

Katanya, orang awam, kemudahan PBB dan pekerja kemanusiaan mesti dilindungi supaya mereka boleh terus memberikan bantuan menyelamatkan nyawa.

Washington melahirkan kebimbangan dan meminta Israel untuk mendapatkan maklumat mengenai kejadian semasa konflik tetapi negara itu jarang secara terbuka mengkritik tindakan Israel.

Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza kini berada di Khan Younis dan bandar-bandar di utara dan selatannya. - AGENSI

Berita Harian X