Selasa, 23 Januari 2024 | 4:32pm
Anggota tentera China mencari mangsa yang hilang berikutan tanah runtuh di kampung Liangshui di Zhaotong, wilayah Yunnan barat daya China pada 22 Januari 2024. - Foto AFP
Anggota tentera China mencari mangsa yang hilang berikutan tanah runtuh di kampung Liangshui di Zhaotong, wilayah Yunnan barat daya China pada 22 Januari 2024. - Foto AFP

Tanah runtuh di barat daya China ragut 31 nyawa

BEIJING: Angka kematian akibat insiden tanah runtuh yang melanda bahagian terpencil dan pergunungan di barat daya China mencecah 31 orang setakat ini, menurut media kerajaan, ketika penyelamat berusaha mencari mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Insiden itu menyebabkan 18 rumah tertimbus dan memaksa pemindahan lebih 200 orang apabila ia melanda Daerah Zhenxiong, wilayah Yunnan awal pagi semalam.

Selepas lebih 36 jam sejak bencana itu berlaku, 31 mangsa disahkan maut, kata penyiar CCTV.

Dua puluh empat masih hilang, tambah laporan itu.

Agensi berita Xinhua berkata, anggota penyelamat kini berada dalam "perlumbaan melawan masa" untuk mencari mereka yang masih hilang, selepas semalaman suhu di bawah sifar.

"Usaha mencari dan menyelamat berterusan sepanjang malam," kata anggota bomba Li Shenglong kepada Xinhua.

Wu Junyao, pengarah sumber asli dan biro perancangan Zhaotong, memberitahu Xinhua bahawa bencana itu akibat runtuhan tebing curam di atas cerun.

Seramai 200 pekerja penyelamat dihantar ke tempat kejadian bersama puluhan jentera bomba dan peralatan lain.

Tapak itu dilitupi salji tebal dan penyelamat "menggunakan semua jenis alat untuk mencari mangsa yang terselamat", lapor Xinhua.

Wu berkata, penyelamat sedang menggali runtuhan "100 meter lebar, 60 meter tinggi, dengan ketebalan purata sekitar enam meter."

CCTV menunjukkan rakaman pekerja penyelamat menggali logam dan konkrit yang dipintal semalaman dalam usaha mencari mangsa yang terselamat.

Rakaman CCTV lain menunjukkan penduduk tempatan berhimpit-himpit mencari kehangatan di sekeliling api di tempat perlindungan dengan menjamah mi segera. - AFP

Berita Harian X