Selasa, 23 Januari 2024 | 4:21pm
Foto dikeluarkan Tentera Israel pada 22 Januari 2024 menunjukkan anggotanya di Semenanjung Gaza ketika pertempuran berterusan antara rejim Zionis dan Palestin. - Foto AFP
Foto dikeluarkan Tentera Israel pada 22 Januari 2024 menunjukkan anggotanya di Semenanjung Gaza ketika pertempuran berterusan antara rejim Zionis dan Palestin. - Foto AFP

22 tentera Israel terbunuh, kematian harian tertinggi sejak 7 Oktober

GAZA: Seramai 24 tentera Israel maut dalam serangan paling sengit di selatan Gaza hari ini, angka kematian harian tertinggi sepanjang konflik yang sejak Oktober tahun lalu.

Jurucakap rejim Zionis, Daniel Hagari, berkata seramai 21 tentera maut akibat letupan bom dilempar ke arah kereta kebal.

Selain itu katanya, sepasukan tentera Israel turut ditimpa runtuhan dua bangunan dengan kedua-dua kejadian berlaku pada masa sama.

"Kita sedang menyiasat punca letupan," katanya.

Terdahulu, tentera berkata, tiga anggotanya maut dalam serangan berasingan di selatan Gaza.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al Qidra, berkata ia berlaku ketika rejim Zionis membuat serangan udara, laut dan darat di barat Khan Younis di Gaza, membabitkan serbuan ke sebuah hospital serta penahanan kakitangan perubatan.

Katanya, sekurang-kurangnya 50 orang maut di Khan Younis pada malam Ahad lalu, manakala puluhan lagi terbunuh serta cedera akibat pengepungan di beberapa fasiliti kesihatan dengan angka terbabit di luar jangkaan pasukan penyelamat.

Bagaimanapun, Israel dan pejabat jurucakap rejim Zionis enggan mengulas serangan terbabit.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) meminta Israel melindungi penduduk Palestin yang tidak bersalah serta kakitangan perubatan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih, John Kirby, semalam, berkata Israel berhak untuk membela diri namun berharap tindakannya selaras undang-undang antarabangsa dan melindungi seramai mungkin orang tidak bersalah di hospital, kakitangan perubatan serta pesakit.

Israel mendakwa Hamas beroperasi di sekitar hospital dengan perkara itu dinafikan kumpulan pejuang terbabit serta kakitangan perubatan.

Minggu lalu, rejim Zionis melancarkan serangan untuk menawan Khan Younis, dikatakan lokasi markas utama pejuang Hamas yang bertanggungjawab atas kematian 1,200 orang dalam serangan pada 7 Oktober 2023.

Menerusi perkembangan dimaklumkan pihak berkuasa kesihatan Gaza semalam, sekurang-kurangnya 25,295 warga Gaza dibunuh dalam serangan balas rejim Zionis.

Di Tebing Barat, berlaku lonjakan kebimbangan global berhubung jumlah kematian warga Palestin susulan serangan rejim Zionis di kawasan yang padat penduduk serta krisis kemanusia menimpa ratusan ribu orang.

AS menggesa Israel mengurangkan kerosakan kepada warga awam di Gaza serta menyeru kekerasan ke atas warga Palestin di Tebing Barat dihentikan, selain percaya penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin masih boleh dilaksanakan.

Sementara itu, Menteri Luar Israel, Israel Katz ketika pertemuan bersama rakan sejawat Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Belgium semalam, mengelak membincangkan penyelesaian dua negara, sebaliknya memaparkan video mengenai projek infrastruktur masa depan.

Israel sebelum ini, menentang desakan membentuk Palestin, dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, berkata mana-mana warga Palestin akan memberi 'bahaya eksistensial' kepada Israel.

Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell, mengedar kertas perbincangan dengan kaedah ke arah perdamaian yang menyeru bagi persidangan persediaan perdamaian dianjurkan kesatuan itu dan negara Arab.

AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dijemput sebagai penyelaras persidangan itu.

Washington semalam, menggesa siasatan 'sewajarnya' ke atas kematian seorang remaja Palestin berusia 17 tahun yang dikatakan dibunuh pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat pada Jumaat, seperti didakwa pejabat kesihatan Palestin. - REUTERS

Berita Harian X