Selasa, 23 Januari 2024 | 1:38pm
Xinjiang dilanda beberapa gempa bumi kuat sepanjang tempoh 24 jam yang lalu. - Foto AGENSI
Xinjiang dilanda beberapa gempa bumi kuat sepanjang tempoh 24 jam yang lalu. - Foto AGENSI

Sekurang-kurangnya tiga cedera gempa bumi kuat di Kyrgyzstan-Xinjiang

BEIJING: Gempa bumi kuat berukuran 7.1 skala Richter melanda wilayah sempadan Kyrgyzstan-Xinjiang semalam, mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera.

Agensi berita Xinhua melaporkan, pihak berkuasa tempatan turut menghantar anggota pasukan penyelamat ke pusat gempa, manakala 800 lagi bersiap sedia untuk sebarang misi bantuan bencana besar.

Gempa bumi itu direkodkan sejurus selepas jam 2 pagi waktu tempatan pada kedalaman 13 kilometer (km) di wilayah Xinjiang, China, kira-kira 140 km barat bandar Aksu.

Dua rumah kediaman dan bangsal ternakan turut dilaporkan runtuh di kawasan berhampiran pusat gempa, manakala bekalan elektrik terputus buat sementara waktu.

Media kerajaan berkata, tiga orang di daerah berhampiran juga cedera dan sudah dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, video yang tersebar di media sosial menunjukkan perkakasan rumah terhempas ke lantai apabila rumah bergegar kuat.

Syarikat penyiar kerajaan CCTV turut menunjukkan banyak rakaman, termasuk anggota bomba memasuki bangunan rosak dengan dinding retak serta anggota polis membantu penduduk tempatan yang cedera.

Saluran televisyen tempatan di ibu negara India, New Delhi juga melaporkan gegaran kuat di bandar itu, yang terletak kira-kira 1,400 km jauhnya.

Penduduk Aksu memberitahu Xinhua, orang ramai bergegas keluar untuk menyelamatkan diri ketika gegaran berlaku walaupun suhu awal pagi yang sejuk mencecah sekitar -10 darjah Celsius.

Cao Yanglong yang dalam urusan perniagaan berkata, ketika kejadian dia berada di tingkat 21 sebuah hotel dan berasakan seperti 'digoncang di katil'.

Menurut seorang wartawan AFP, orang ramai meninggalkan rumah untuk mencari perlindungan di jalan di ibu kota Kyrgyzstan, Bishkek, selepas gempa itu menyebabkan dinding bergegar.

Ketua Kementerian Situasi Kecemasan Kyrgyz, Bohobek Azhikeev, berkata 'tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan di bandar Bishkek'.

Pihak berkuasa di Kazakhstan turut melaporkan, tiada sebarang kematian atau kemusnahan besar disahkan setakat ini.

Di Almaty, bandar terbesar di Kazakhstan, rakyat berlari keluar daripada bangunan berikutan gempa itu berdasarkan imej yang disiarkan di media sosial dan saluran berita tempatan.

Gempa bumi hari ini berlaku sehari selepas kejadian tanah runtuh menimbus puluhan orang dan membunuh sekurang-kurangnya lapan nyawa di barat daya China.

Disember lalu, gempa bumi di barat laut negara itu mengorbankan 148 orang menyebabkan ribuan mangsa kehilangan tempat tinggal di wilayah Gansu.

Ia adalah siri gegaran paling dahsyat di China sejak 2014, apabila lebih 600 orang terbunuh di wilayah Yunnan barat daya. - AFP

Berita Harian X