Ahad, 21 Januari 2024 | 12:00pm
Persidangan Majlis Keselamatan PBB. - Foto fail REUTERS
Persidangan Majlis Keselamatan PBB. - Foto fail REUTERS

Iran kritik mekanisme veto tidak adil di Majlis Keselamatan PBB

TEHRAN: Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Mokhber mengkritik kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), menyifatkannya sebagai mekanisme tidak adil yang melemahkan kedudukan badan itu.

Komen itu dibuat ketika Mokhber bertemu Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres di ibu negara Uganda, Kampala di luar Sidang Kemuncak ke-19 Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) semalam, menurut agensi berita republik Islam (IRNA).

Mokhber dan Guterres membincangkan isu serantau utama termasuk perang Gaza, dengan kedua-duanya menyatakan kesedihan atas jenayah yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di wilayah yang dikepung.

Guterres berkata, Iran harus bertindak sebagai antara tonggak utama apa yang disebutnya sebagai Asia Barat baharu dengan negara itu harus memainkan peranan aktif dalam mempromosikan keamanan.

Menurut IRNA, Mokhber juga bertemu dengan Menteri Luar Afrika Selatan, Naledi Pandor di luar sidang kemuncak NAM.

Pegawai Iran itu memuji Afrika Selatan kerana menyokong rakyat Palestin di Gaza serta tindakannya untuk merujuk pembunuhan beramai-ramai Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (IJC).

Diplomat terkemuka Afrika Selatan itu berkata, negaranya tetap bertekad dalam menyokong Palestin dan akan melakukan segala yang mampu untuk membolehkan suara rakyat Palestin didengari dunia.

Menurut IRNA, Mokhber juga mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar di Kampala, di mana salah satu topik utama yang dibincangkan mengenai Chabahar, iaitu pelabuhan utama di tenggara Iran, yang juga sebahagian daripada Koridor Pengangkutan Utara-Selatan Antarabangsa yang dikenali sebagai INSTC.

Mokhber menyifatkan Chabahar sebagai lokasi strategik, yang boleh membawa banyak faedah untuk Iran dan India kerana menjadi sebahagian daripada salah satu koridor terbesar di dunia.

Jaishankar berkata, Chabahar tidak berfungsi sebagai pelabuhan semata-mata; ia adalah titik utama dalam salah satu koridor global yang paling penting dan juga amat penting untuk Russia dan Asia Tengah.

Selain itu, kedua-dua menteri itu berbincang berkenaan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dua hala dan menekankan kepentingan membuat pelan strategik jangka panjang untuk kerjasama bersama. - BERNAMA-IRNA

Berita Harian X