Ahad, 21 Januari 2024 | 9:29am
Foto dirakamkan pada 20 November 2023 menunjukkan kapal kargo Galaxy Leader diiringi bot Houthi di Laut Merah. - Foto REUTERS
Foto dirakamkan pada 20 November 2023 menunjukkan kapal kargo Galaxy Leader diiringi bot Houthi di Laut Merah. - Foto REUTERS

Saudi bimbang ketegangan di Laut Merah, tingkatkan konflik di rantau

WASHINGTON: Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan memaklumkan kerajaannya sangat bimbang dengan ketegangan di Laut Merah berikutan serangan Houthi Yaman dan serangan balas Amerika Syarikat (AS) yang berupaya hilang kawalan dan meningkatkan lagi konflik di rantau itu.

"Susulan perkembangan ketika ini, kami sangat bimbang... kita berada dalam keadaan sangat sukar dan berbahaya di rantau ini dan ini sebabnya kami menggesa de-eskalasi," katanya kepada CNN 'Fareed Zakaria GPS' dalam temu bual disiarkan hari ini.

Serangan oleh pejuang Houthi yang bersekutu dengan Iran ke atas kapal-kapal di dalam dan sekitar Laut Merah sejak beberapa minggu lalu memperlahankan perdagangan antara Asia dan Eropah dan mencemaskan kuasa besar berhubung peningkatan perang di Gaza.

Menurutnya, kerajaan Arab Saudi percaya kebebasan pelayaran berupaya mengurangkan ketegangan di rantau itu.

"Sudah tentu kami sangat percaya dengan kebebasan pelayaran. Dan itu adalah sesuatu yang perlu dilindungi.

"Bagaimanapun kita juga perlu melindungi keselamatan dan kestabilan rantau ini. Jadi kami sangat tertumpu untuk meredakan keadaan sebanyak mungkin," katanya kepada CNN.

Houthi yang menguasai sebahagian besar Yaman, berkata serangannya sebagai solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza yang diserang Israel.

Sejak minggu lalu, AS melancarkan serangan ke atas sasaran Houthi di Yaman, dan minggu ini mengembalikan pejuang itu ke senarai kumpulan 'pengganas'.

Khamis lalu, Presiden AS, Joe Biden berkata serangan udara akan berterusan walaupun beliau mengakui negaranya mungkin tidak menghentikan serangan Houthi.

Konfrontasi itu berisiko meluaskan konflik di luar Gaza yang ditadbir Hamas, dengan Kementerian Kesihatannya mengatakan lebih 24,000 orang atau lebih satu peratus daripada 2.3 juta penduduk Gaza terbunuh dalam serangan Israel.

Israel melancarkan serangannya berikutan serangan 7 Oktober ke atas Israel oleh kumpulan pejuang Islam Palestin yang menurut pegawai Israel membunuh 1,200 orang. - REUTERS

Berita Harian X