Selasa, 16 Januari 2024 | 8:18am
Tapak pengumpulan sisa bencana di Nanao, wilayah Ishikawa selepas gempa bumi berukuran 7.5 magnitud landa wilayah Noto di wilayah Ishikawa pada Hari Tahun Baharu. - Foto AFP
Tapak pengumpulan sisa bencana di Nanao, wilayah Ishikawa selepas gempa bumi berukuran 7.5 magnitud landa wilayah Noto di wilayah Ishikawa pada Hari Tahun Baharu. - Foto AFP

Banjir tsunami Jepun jejas kawasan seluas 190 hektar

KANAZAWA: Gelombang tsunami dijana oleh gempa bumi kuat menggegarkan Semenanjung Noto dan kawasan sekitarnya di tengah Jepun pada Hari Tahun Baharu dikesan melanda kawasan seluas kira-kira 190 hektar membabitkan tiga majlis perbandaran.

Angka kematian akibat bencana itu meningkat kepada 222 orang setakat petang semalam, dua minggu selepas gempa bumi berukuran 7.6 magnitud, menurut kerajaan wilayah Ishikawa.

Tsunami menyebabkan kerosakan kebanyakannya di bahagian timur laut Semenanjung, termasuk Suzu dan Noto di pantai Laut Jepun, memusnahkan rumah dan kemudahan pelabuhan, walaupun tahap kemusnahan sepenuhnya masih belum dinilai.

Memetik laporan Kyodo News, keluasan 190 hektar itu juga termasuk kawasan bandar pesisir pantai Shika di bahagian tengah wilayah itu, menurut kerajaan pusat.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi pada sidang media berkata struktur pemecah ombak sekurang-kurangnya di tujuh pantai yang dilanda ombak tsunami rosak.

Tahap banjir ditentukan berdasarkan imej diambil oleh helikopter serta maklumat peta daripada Pihak Berkuasa Maklumat Geospatial negara.

Persatuan Jurutera Awam Jepun, yang menjalankan tinjauan di tapak, menemui tanda-tanda gelombang tsunami mencecah setinggi empat meter di beberapa lokasi. - AGENSI

Berita Harian X