Isnin, 15 Januari 2024 | 11:08am
Pejuang Houthi mengangkat senjata api ketika protes terhadap serangan diketuai AS ke atas sasaran Houthi, berhampiran Sanaa, Yaman. - Foto REUTERS
Pejuang Houthi mengangkat senjata api ketika protes terhadap serangan diketuai AS ke atas sasaran Houthi, berhampiran Sanaa, Yaman. - Foto REUTERS

OIC suarakan kebimbangan ketegangan di Laut Merah

ANKARA: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semalam melahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap ketegangan semakin meningkat di Laut Merah di tengah-tengah serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) ke atas kumpulan Houthi di Yaman.

Dalam satu kenyataan, pertubuhan yang berpangkalan di Jeddah itu berkata adalah penting untuk berusaha ke arah mengurangkan ketegangan dan mengelakkan peningkatan di rantau Laut Merah untuk memelihara keselamatan dan kestabilan di seluruh wilayah.

AS memperbaharui serangan udara di ibu negara Yaman, Sanaa, sehari selepas serangan dilakukan oleh Washington dan London terhadap sasaran di kawasan yang dikawal oleh Houthi di Yaman.

Selepas serangan pada Jumaat, yang mengakibatkan lima kematian dan enam kecederaan dalam kalangan Houthi, kumpulan itu berikrar semua kepentingan AS dan British menjadi "sasaran sah" untuk pasukannya sebagai tindak balas kepada "pencerobohan langsung dan diisytiharkan" mereka terhadap Yaman.

Pasukan Houthi menyasarkan kapal kargo Laut Merah yang dimiliki atau dikendalikan oleh syarikat Israel atau mengangkut barang ke dan dari Israel, sebagai solidariti kepada Gaza, yang berada di bawah serangan Israel sejak 7 Oktober lalu. - AGENSI

Berita Harian X