Isnin, 15 Januari 2024 | 7:10am
Pemandangan dari udara sekitar Tanah Suci Makkah. - Foto fail BERNAMA
Pemandangan dari udara sekitar Tanah Suci Makkah. - Foto fail BERNAMA

Masjidil Haram dibahagi ikut zon berkod mudahkan jemaah, pekerja

JEDDAH: Arab Saudi sedang meneroka prospek membahagikan Masjidil Haram dan datarannya di Makkah kepada zon berkod bagi melancarkan akses jemaah dan pekerja.

Inisiatif itu bertepatan dengan kedatangan jemaah umrah yang semakin meningkat setiap tahun dengan Masjidil Haram menyaksikan kehadiran jemaah tertinggi dalam sejarahnya tahun lalu.

Lebih 13.5 juta jemaah asing menunaikan umrah pada 2023. Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 58 peratus, dengan pertambahan lebih lima juta berbanding tahun sebelumnya.

Bagi tujuan itu, Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Syarikat Perkhidmatan Pos dan Logistik Saudi (SPL).

Memetik laporan Saudi Gazette, majlis berkenaan diadakan di luar Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah 2024.

Di bawah MoU itu, SPL akan menjalankan kajian mengenai pembahagian Masjidil Haram dan datarannya kepada zon berkod untuk membantu menentukan lokasi geografi dengan tepat dan memudahkan penerangan kawasan bagi membimbing jemaah dan pekerja berikutan masjid yang luas.

Perjanjian itu juga bertujuan mengukur prestasi dan pengagihan kakitangan yang bekerja berdasarkan kapasiti penginapan dan operasi, dan dengan itu memastikan standard tertinggi perkhidmatan yang disediakan di tempat suci Islam.

"Saya gembira untuk berkongsi beberapa berita baik dan belum pernah berlaku sebelum ini. Jumlah tertinggi jemaah yang tiba dari luar kerajaan pada 2019 ialah 8.5 juta.

"Tahun ini, dan berdasarkan kemudahan yang diperkenalkan oleh kepemimpinan Arab Saudi, jumlah itu meningkat kepada 13,550,000 jemaah," kata Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah, dalam sesi pembukaan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah yang bermula 8 Januari lalu.

Kerajaan Saudi berminat untuk memastikan pengaturan dan kemudahan yang terperinci bagi membolehkan jemaah haji dan umrah melaksanakan ibadah dengan mudah dan selesa. - AGENSI

Berita Harian X