Ahad, 14 Januari 2024 | 4:49pm
Orang ramai menonton siaran mengenai pelancaran ujian peluru berpandu terbaharu Korea Utara di sebuah stesen kereta api di Seoul, Korea Selatan. - Foto AFP
Orang ramai menonton siaran mengenai pelancaran ujian peluru berpandu terbaharu Korea Utara di sebuah stesen kereta api di Seoul, Korea Selatan. - Foto AFP

Korea Utara tembak peluru berpandu tidak dikenal pasti

SEOUL: Korea Utara hari ini melepaskan peluru berpandu balistik, kata tentera Korea Selatan, beberapa hari selepas Pyongyang mengadakan latihan tembakan langsung berhampiran sempadan maritim yang tegang dengan jirannya.

"Korea Utara menembak peluru berpandu balistik yang tidak dikenal pasti ke arah Laut Timur," kata Ketua Turus Bersama Seoul dalam satu kenyataan, merujuk kepada kawasan perairan yang turut dikenali sebagai Laut Jepun.

Ketua Turus Bersama berkata, pihaknya mengesan pelancaran peluru berpandu itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Pengawal pantai Jepun berkata, satu 'objek, berpotensi adalah peluru berpandu balistik, dilancarkan dari Korea Utara', katanya memetik maklumat kementerian pertahanan negara itu dan memberi amaran kepada kapal supaya berhati-hati.

Ujian peluru berpandu terakhir oleh Korea Utara membabitkan sebuah peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) bahan api padu Hwasong-18, yang dilancarkan ke Laut Timur pada 18 Disember lalu.

Ujian itu dilakukan beberapa hari selepas Korea Utara menjalankan satu siri latihan tembakan langsung yang jarang berlaku berhampiran sempadan maritim dengan Selatan, mendorong kepada latihan balas dan perintah pemindahan bagi beberapa pulau sempadan Korea Selatan.

Pemimpin Korea Utara,Kim Jong-un, pada awal minggu ini menggelar Seoul sebagai 'musuh utama' dan memberi amaran yang beliau tidak akan teragak-agak untuk memusnahkannya, ketika melawat kilang senjata utama.

"Masa bersejarah sudah tiba akhirnya apabila kita harus mentakrifkan sebuah negara yang paling memusuhi Republik Rakyat Demokratik Korea, entiti yang dipanggil Republik Korea (Korea Selatan)," kata Jong-un, seperti dilaporkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Rabu.

Penganalisis ketika itu menyifatkan, peralihan terbabit penting, menandakan satu perubahan dalam pendekatan Pyongyang terhadap Seoul kepada mod lebih agresif.

Hubungan antara dua negara itu berada pada satu titik terendah dalam beberapa dekad, selepas Jong-un memaktubkan status kekal negara itu sebagai kuasa nuklear ke dalam Perlembagaan dan menguji beberapa ICBM termaju.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menerima pakai banyak resolusi yang menggesa Korea Utara menghentikan program nuklear dan peluru berpandu balistik sejak Pyongyang mula menjalankan ujian nuklear pada 2006. - AFP

Berita Harian X