Sabtu, 13 Januari 2024 | 11:31pm
Orang ramai di bandar Hudeida di Laut Merah, Yaman menyertai protes membantah serangan semalaman Amerika Syarikat (AS) dan Britain menyasarkan bandar dikuasai pemberontak Houthi. - Foto AFP
Orang ramai di bandar Hudeida di Laut Merah, Yaman menyertai protes membantah serangan semalaman Amerika Syarikat (AS) dan Britain menyasarkan bandar dikuasai pemberontak Houthi. - Foto AFP

Rakyat Yaman nyatakan bantahan, sokong rakyat Palestin

ADEN: Pergerakan Houthi mengancam melakukan tindakan balas dendam dahsyat selepas Amerika Syarikat (AS) melakukan satu lagi serangan semalam di Yaman, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan.

Perkembangan itu berlaku ketika Washington berikrar untuk melindungi kapalnya daripada serangan oleh pihak bersekutu Iran.

Serangan itu menambah kebimbangan mengenai peningkatan konflik yang merebak ke seluruh rantau terbabit sejak kumpulan pejuang Palestin, Hamas dan Israel berperang.

Malah sekutu Iran turut menyertai pertempuran dari Lubnan, Syria dan Iraq.

Serangan terbaharu AS yang membedil tapak radar, berlaku sehari selepas puluhan serangan dari negara itu dan Britain ke atas kemudahan Houthi di Yaman.

Jurucakap pemberontak Houthi, Nasruldeen Amer, berkata serangan terbaharu itu akan menyebabkan pihaknya bertindak balas dengan satu tindakan yang dahsyat, kuat dan berkesan.

"Namun, serangan AS dan Britain tidak mengakibatkan kecederaan mahupun kerosakan harta benda setakat kini," katanya kepada Al Jazeera.

Sementara itu, seorang lagi jurucakap Houthi, Mohammed Abdulsalam, berkata

bahawa serangan itu, termasuk yang terbaharu di pangkalan tentera di Sanaa, tidak memberi kesan ketara terhadap keupayaan kumpulan terbabit bagi menghalang kapal dikaitkan dengan Israel daripada melalui Laut Merah dan Laut Arab.

Menurut Houthi, kempen maritim yang dijalankan mereka bertujuan untuk menyokong rakyat Palestin daripada serangan Israel di Gaza.

Sementara itu semalam, Pentagon menyifatkan serangan AS dan Britain ke atas Yaman memberikan kesan positif buat mereka. - REUTERS

Berita Harian X