Sabtu, 13 Januari 2024 | 10:12pm
Calon Presiden Taiwan, Lai Ching-te, dari Parti Progresif Demokratik (DPP) dan rakan seperjuangan, Hsiao Bi-khim menyertai perhimpunan meraikan kemenangannya di Taipei, Taiwan. - Foto REUTERS
Calon Presiden Taiwan, Lai Ching-te, dari Parti Progresif Demokratik (DPP) dan rakan seperjuangan, Hsiao Bi-khim menyertai perhimpunan meraikan kemenangannya di Taipei, Taiwan. - Foto REUTERS

Calon parti pemerintah Taiwan menang pilihan raya presiden

TAIPEI: Calon mewakili parti kerajaan Taiwan, Lai Ching-te, memenangi pilihan raya Presiden, hari ini.

Ching-te, yang disifatkan sebagai 'ancaman' oleh China, menyumbang kemenangan untuk penggal kali ketiga bagi Parti Progresif Demokratik (DPP) dengan kejayaan kempen yang meletakkan pemimpin itu sebagai pembela cara hidup demokratik Taiwan.

Menurut data rasmi dari Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Taiwan, Ching-te menang dengan 40.2 peratus undi yang dikira daripada 98 peratus pusat mengundi.

Saingan utamanya, Hou Yu-ih dari parti pembangkang Kuomintang (KMT) tewas di tempat kedua dengan 33.4 peratus undi.

Hampir 20 juta orang layak mengundi, namun jumlah keluar mengundi masih belum diumumkan.

Kemenangan Ching-te memberi maksud mandat pemerintahan DPP diteruskan selepas lapan tahun di bawah Presiden Tsai Ing-wen, yang mencapai tempoh had dua penggal mentadbir Taiwan.

Pilihan raya itu diawasi rapat oleh Beijing dan Washington, iaitu rakan kongsi tentera utama Taiwan, ketika kedua-dua kuasa besar itu berebut mendapatkan pengaruh di wilayah yang sangat strategik itu.

China mendakwa Taiwan, yang dipisahkan dari tanah besar oleh selat sepanjang 180 kilometer (km), sebagai miliknya dan tidak menolak menggunakan kekerasan untuk mewujudkan penyatuan antara dua negara itu, walaupun konflik kelihatan tidak akan berlaku.

Sebelum ini, Beijing membidas Ching-te yang ketika itu Naib Presiden, sebagai pemisah berbahaya dan sehari sebelum hari mengundi, kementerian pertahanannya berikrar untuk menghancurkan sebarang langkah ke arah kemerdekaan Taiwan.

Taiwan, yang terletak di pintu masuk maritim utama menghubungkan Laut China Selatan ke Lautan Pasifik, adalah pusat industri semikonduktor utama global dalam menghasilkan cip mikro.

China bertindak meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Taiwan sejak beberapa tahun lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan pencerobohan. - AFP

Berita Harian X