Khamis, 11 Januari 2024 | 4:29pm
Seorang pelancong China bergambar dengan bendera China, dengan latar belakang pulau Taiwan dari jarak 2 kilometer, semasa lawatan bot untuk melihat pulau itu, di luar Xiamen, di wilayah Fujian tenggara China pada 11 Januari 2024, dua hari sebelum Pilihan raya Presiden Taiwan. - Foto AFP
Seorang pelancong China bergambar dengan bendera China, dengan latar belakang pulau Taiwan dari jarak 2 kilometer, semasa lawatan bot untuk melihat pulau itu, di luar Xiamen, di wilayah Fujian tenggara China pada 11 Januari 2024, dua hari sebelum Pilihan raya Presiden Taiwan. - Foto AFP

Taiwan bersedia serangan siber China, jalankan 'senario kiamat'

TAIPEI: Taiwan akan menjalankan senario kiamat dengan jutaan orang tidak dapat menggunakan talian, bank tidak berfungsi dan industri semikonduktor paling maju di dunia lumpuh, sebagai persediaan pencerobohan tentera China serta gelombangan serangan terhadap infrastruktur sibernya.

Taiwan melaksanakan perancangan keselamatan itu untuk bersiap sedia pada hari Beijing memutuskan untuk mencuba dan mengambil alih pulau itu.

Jika China benar-benar menyerang negara itu, pegawai Taiwan dan pakar keselamatan siber berkata, ia tidak akan mengehadkan serangannya kepada pasukan keselamatan dan infrastruktur pertahanan sahaja, tetapi akan memutuskan hubungan pulau itu dari dunia.

Penyelidik keselamatan siber di Institut Penyelidikan Pertahanan dan Keselamatan Negara Taiwan, Crystal Tu, berkata, Taiwan menerima ancaman berterusan daripada penyerang senyap yang mendapat akses kepada rangkaian komputer untuk 'duduk dan menunggu dalam infrastruktur itu'.

Katanya, mereka boleh menjadi sangat aktif ketika konflik, seakan-akan 'operasi siber yang bertujuan untuk mengganggu infrastruktur kritikal - termasuk sektor telekomunikasi, tenaga dan kewangan'.

Serangan siber terhadap Taiwan ketika ini dikesan meningkat secara mendadak pada tahun menjelang pilihan raya presiden Sabtu ini, yang disifatkan China sebagai pilihan antara perang dan keamanan kepada 23 juta penduduk pulau itu.

Pihak berkuasa Taiwan berkata, agensi kerajaan menganggarkan lima juta serangan siber sehari malah firma keselamatan siber Fortinet melaporkan, peningkatan 80 peratus dalam serangan siber pada separuh pertama 2023 - menempatkan Taiwan di kedudukan nombor satu di Asia Pasifik.

"Operasi siber ke arah Taiwan tidak pernah benar-benar berhenti," kata Tu.

Beberapa taktik yang digunakan terhadap infrastruktur Taiwan juga dikenal pasti sebagai teknik yang digunakan oleh kumpulan tajaan kerajaan China.

Tahun lalu, Microsoft mengesan ancaman daripada kumpulan bernama Flax Typhoon yang beroperasi di luar China dan menyasarkan Taiwan.

Gergasi teknologi AS itu berkata, Flax Typhoon 'berhasrat untuk melakukan pengintipan dan mengekalkan akses' kepada pelbagai organisasi Taiwan selama mungkin.

Penyerang siber bukan sahaja menyasarkan kerajaan dan organisasi pertahanan Taiwan, tetapi juga turut menyasar industri semikonduktornya.

Syarikat Taiwan adalah penting untuk pembekalan cip yang juga nadi ekonomi global.

Berikutan kepentingannya, seorang bekas pegawai Amerika Syarikat (AS), pada tahun berkata, AS lebih suka memusnahkan infrastruktur semikonduktor itu daripada membiarkannya jatuh kepada tentera China yang menyerang.

Tahun lalu, Syarikat Pembuatan Semikonduktor Taiwan (TSMC), yang mengawal lebih separuh daripada keluaran cip dunia, melaporkan pelanggaran data di salah satu pembekalnya.

"Taiwan adalah sasaran penting kerana ia berada di puncak rantaian bekalan teknologi tinggi yang kritikal.

Hubungan geopolitik dan (China-Taiwan) sudah pasti boleh meningkatkan insiden keselamatan siber," kata Jim Liu dari Fortinet. - AFP

Berita Harian X