Rabu, 10 Januari 2024 | 10:53am
Serangan udara tentera Israel ke atas sebuah pangsapuri di barat bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza mengakibatkan 15 orang awam terbunuh. - Foto AGENSI
Serangan udara tentera Israel ke atas sebuah pangsapuri di barat bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza mengakibatkan 15 orang awam terbunuh. - Foto AGENSI

Serangan udara Israel ke atas pangsapuri bunuh 15 orang awam

GAZA: Sekurang-kurangnya 15 orang awam terbunuh, manakala yang lain cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah pangsapuri di barat bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza.

Sumber perubatan memaklumkan, 15 mayat tiba di Hospital Kuwait di Rafah selepas terbunuh dalam serangan tentera Israel ke atas sebuah pangsapuri dimiliki keluarga Nofal di kawasan kejiranan Tel al-Sultan.

Pesawat perang itu turut membedil sebuah rumah berhampiran sekolah menengah perempuan di kem pelarian al-Maghazi, di tengah Semenanjung, mengakibatkan beberapa orang terkorban.

Gambar yang diambil 9 Januari dari sempadan Israel dengan Semenanjung Gaza menunjukkan asap berkepul selepas pengeboman tentera Israel, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan pejuang Hamas. - Foto AFP
Gambar yang diambil 9 Januari dari sempadan Israel dengan Semenanjung Gaza menunjukkan asap berkepul selepas pengeboman tentera Israel, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan pejuang Hamas. - Foto AFP

Terdahulu, sekurang-kurangnya empat orang awam terbunuh di kem itu.

Anggota pasukan penyelamat tidak dapat memindahkan mayat mangsa kerana tentera Israel mempergiatkan operasi penguatkuasaan di pintu masuk kem.

Beberapa mayat dan mangsa yang cedera tiba di Hospital Syahid Al-Aqsa akibat serangan Israel yang menyasarkan sebuah rumah di Deir al-Balah, di tengah Semenanjung.

Dron dilengkapi senjata menyerang mereka yang berlindung di sekolah kendalian Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di barat Khan Yunis dan sekitar Hospital Nasser di selatan Semenanjung, serta kawasan di timur kem pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung yang mencederakan beberapa orang.

Pesawat pejuang Israel juga mengebom sebuah masjid dan beberapa rumah penduduk di kampung Qizan an-Najjar, selatan Khan Yunis.

Artileri Israel terus membedil kejiranan al-Manara, kawasan Fakhari dan beberapa kawasan berbeza di Khan Yunis, yang mengakibatkan dua wanita terkorban di Fakhari.

Seorang kanak-kanak di Hospital Eropah Gaza turut meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam tembakan meriam di bahagian timur Khan Yunis, semalam, menjadikan jumlah orang awam yang terbunuh di Khan Yunis kepada 13 orang dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Pasukan penyelamat dan kru ambulans menemukan dua mayat dan beberapa yang cedera di bawah runtuhan rumah yang menjadi sasaran serangan udara Israel di bandar Jabalia, utara Semenanjung.

Beberapa orang awam turut terbunuh, manakala yang lain cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan di barat Bandar Gaza dan kejiranan Zeitoun.

Berdasarkan kiraan sementara, seramai 23,210 orang terbunuh dengan lebih 70 peratus daripadanya terdiri kanak-kanak dan wanita akibat pencerobohan Israel di Gaza sejak 7 Oktober lalu. - AGENSI

Berita Harian X