Selasa, 9 Januari 2024 | 12:18pm
Seorang tentera Israel berdiri di pintu masuk ke terowong ketika menyertai operasi di tengah-tengah konflik berterusan di antara Israel dan pejuang Hamas di Gaza, semalam. -REUTERS
Seorang tentera Israel berdiri di pintu masuk ke terowong ketika menyertai operasi di tengah-tengah konflik berterusan di antara Israel dan pejuang Hamas di Gaza, semalam. -REUTERS

Afrika Selatan heret Israel ke ICJ

THE HAGUE: Israel bakal diheret ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Khamis ini, selepas Afrika Selatan menuduh rejim Zionis mendalangi tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Dalam penghujahan setebal 84 muka surat kepada ICJ, Afrika Selatan menggesa hakim supaya memerintahkan Israel menggantung serta-merta operasi ketenteraannya di Gaza.

Ini kerana, Afrika Selatan mendakwa Israel terbabit dalam jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Israel dengan berang menafikan tuduhan itu, selepas jurucakap kerajaan, Eylon Levy, berikrar akan menolak hujah dikemukakan Afrika Selatan itu yang disifatkan sebagai dakwaan tidak masuk akal.

Mengulas dakwaan sama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut menafikan pihaknya terbabit dengan jenayah pembunuhan beramai-ramai sebaliknya menuding Hamas mendalanginya.

"Tidak, Afrika Selatan. Kami bukan datang untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai, tetapi Hamas," katanya.

Menurut data Kementerian Kesihatan Gaza, serangan tentera Israel ke atas wilayah berkenaan yang bermula 7 Oktober lalu, membunuh sekurang-kurangnya 22,722 orang.

PBB menganggarkan sebanyak 1.9 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dengan kebimbangan semakin meluap-luap akan berlaku krisis kebuluran dan penyakit.

Kes genosid di Gaza yang didakwa dilakukan oleh Israel akan dibentangkan oleh Afrika Selatan di ICJ, The Hague, pada Khamis dan Jumaat ini.

Afrika Selatan memulakan prosiding di ICJ bulan lalu, memohon 'mahkamah dunia' itu menyiasat jenayah pembunuhan beramai-ramai didakwa dilakukan rejim Zionis di Gaza, termasuk memutuskan segera bahawa Israel melanggar Konvensyen Genosid 1948.

Walaupun ICJ boleh memutuskan mengenai pertikaian antara negeri, keputusannya mengikat di sisi undang-undang kerana mempunyai kuasa terhad untuk menguatkuasakannya.

Secara teorinya, mahkamah berkenaan boleh memerintah Israel untuk menghentikan pencerobohan di Gaza tetapi timbul keraguan sama ada perintah itu akan dipatuhi.

Peguam merangkap pakar keadilan antarabangsa, Johann Soufi, berpandangan ada impak simbolik yang begitu ketara jika ICJ dapat memutuskan sesuatu terhadap Israel.

"Sudah tentu ada masalah untuk melaksanakan keputusan itu. Tetapi akhirnya, hanya keadilan antarabangsa yang tinggal," katanya yang bekerja untuk agensi PBB untuk pelarian Palestin di Gaza. -AFP

Berita Harian X