Isnin, 8 Januari 2024 | 9:57pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Dua jurulatih kung fu dihukum mati kerana insiden keracunan 1997

BEIJING: Dua jurulatih kung fu dijatuhkan hukuman mati di China hari ini berikutan penahanan mereka tahun lalu kerana insiden keracunan pada tahun 1997 sehingga membunuh tujuh kanak-kanak, menurut mahkamah.

Lelaki itu meletakkan racun tikus dalam makanan di sebuah sekolah seni mempertahankan diri di wilayah Anhui timur China akibat konflik perniagaan dengan majikannya dan berjaya mengelak daripada pendakwaan selama hampir 26 tahun.

Defendan Fu Zejie dan Zhu Zulin masing-masing "dihukum mati kerana jenayah meracun" oleh Mahkamah Perantaraan Rakyat di bandar Ma'anshan, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan.

Mahkamah berkata, pada sekitar 1994, Zhu dan seorang lagi lelaki bernama Peng terbabit dalam pertikaian semasa mengendalikan sekolah seni mempertahankan diri yang bersaing di kawasan itu.

Fu pada ketika itu menjadi jurulatih di fasiliti milik Peng pada 1996, kemudian "secara beransur-ansur menjadi tidak berpuas hati dengan Peng... kerana perkara remeh", menurut mahkamah.

Kedua-dua defendan kemudian berpakat untuk membalas dendam dengan menuang dua paket racun tikus ke dalam makanan di sekolah Peng pada 29 Jun 1997.

Keesokan paginya, lebih 130 murid di sekolah itu mengalami muntah-muntah dan sawan selepas makan sarapan pagi, lapor akhbar China Daily.

Tujuh pelajar maut akibat racun itu.

Kedua-dua pelaku dikenal pasti oleh pihak berkuasa sebagai suspek, tetapi tidak ditahan sehingga Mei 2023.

Fu di Wilayah Fujian di pantai timur dan Zhu di barat daya Wilayah Guizhou. - AFP

Berita Harian X