Isnin, 8 Januari 2024 | 7:20pm
Serpihan jet Japan Airlines (JAL) disimpan dalam hangar di lapangan terbang Haneda. - Foto AGENSI
Serpihan jet Japan Airlines (JAL) disimpan dalam hangar di lapangan terbang Haneda. - Foto AGENSI

Landasan Lapangan Terbang Haneda dibuka semula selepas nahas pesawat

TOKYO: Sebuah landasan di Lapangan Terbang Haneda Tokyo dibuka semula hari ini, selepas insiden perlanggaran antara pesawat penumpang Japan Airlines (JAL) dan pesawat Pengawal Pantai Jepun memaksa penutupan landasan itu, lapor Xinhua.

Landasan C, satu daripada empat landasan di lapangan terbang paling sibuk di negara itu dibuka semula selepas serpihan bangkai pesawat JAL dibersihkan, manakala kerja pembaikan selesai.

Penutupan Landasan C susulan nahas itu menyebabkan pembatalan lebih 1,200 penerbangan, menjejaskan lebih 200,000 penumpang semasa cuti Tahun Baharu yang sibuk, lapor Kyodo News.

Pesawat JAL berlanggar dengan pesawat Pengawal Pantai di Landasan C semasa mendarat pada 2 Januari dengan kedua-dua pesawat terbakar.

Kesemua 379 penumpang dan anak kapal di dalam penerbangan JAL berjaya diselamatkan tetapi lima daripada enam kru Pengawal Pantai terbunuh manakala juruterbang yang terselamat cedera parah.

Sementara itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Jepun Sabtu lalu menemui perakam suara kokpit daripada bangkai pesawat Japan Airlines (JAL) yang terbakar, menurut media tempatan.

Perakam suara adalah kunci untuk mengetahui punca nahas.

Perakam suara pesawat Pengawal Pantai dan perakam penerbangan kedua-dua pesawat telah pun ditemui. - AGENSI

Berita Harian X