Ahad, 7 Januari 2024 | 9:50pm
Gambar yang diambil dari kedudukan di selatan Israel di sepanjang sempadan dengan Semenanjung Gaza, menunjukkan asap berkepul-kepul di atas wilayah Palestin semasa pengeboman Israel pada 5 Januari 2024. - Foto AFP
Gambar yang diambil dari kedudukan di selatan Israel di sepanjang sempadan dengan Semenanjung Gaza, menunjukkan asap berkepul-kepul di atas wilayah Palestin semasa pengeboman Israel pada 5 Januari 2024. - Foto AFP

Diplomat AS, EU cari jalan elak perang Gaza daripada merebak

AMMAN/BEIRUT: Diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS) dan eropah terus mencari jalan bagi mengelak perang Gaza merebak di Asia Barat.

Bagaimanapun, sudah tiga bulan sejak perang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu, lebih banyak pertumpahan darah berlaku, menyaksikan cabaran bakal dihadapi mereka.

Tentera Israel memberitahu, pesawatnya melepaskan tembakan ke arah pejuang Palestin yang menyerang tenteranya di Tebing Barat hari ini.

Sementara pihak berkuasa kesihatan Palestin pula menyatakan enam rakyat Palestin terbunuh dalam serangan itu.

Menurut tentera dan polis, seorang pegawai polis Israel yang bertugas di sempadan terbunuh, sementara yang lain cedera selepas kenderaan dinaiki terkena bahan letupan ketika operasi di bandar Jenin, Tebing Barat.

Tebing Barat sudah menyaksikan tahap kekacauan tertinggi sejak beberapa dekad, termasuk 18 bulan sebelum serangan pada 7 Oktober lalu ke atas Israel oleh Hamas.

Konfrontasi di Tebing Barat meningkat secara mendadak sejak tentera Israel melancarkan serangan balas ke atas Gaza, memusnahkan penempatan Palestin, dalam usaha mereka untuk berusaha menghapuskan Hamas.

Di Tebing Barat, ratusan rakyat Palestin turut terbunuh dalam pertempuran dengan askar dan peneroka Israel sejak beberapa minggu lalu, sementara pasukan keselamatannya turut menahan ribuan rakyat Palestin.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan diplomat tertinggi Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, mengunjungi rantau itu secara berasingan hari ini untuk cuba mengelak perang merebak ke Lubnan, Tebing Barat serta laluan perkapalan di Laut Merah.

Blinken berada di Jordan hari ini, selepas mengunjungi Turki dan Greece, sementara Borrell dalam perjalanan ke Lubnan.

Kedua-duanya menyatakan keutamaan mereka adalah mengelak perang Gaza meluas.

"Kami mempunyai tumpuan untuk menghalang konflik ini daripada merebak," kata Blinken, yang turut akan mengunjungi Israel, Tebing Barat, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi serta Mesir.

Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari semalam berkata, tenteranya sudah memusnahkan 'rangka ketenteraan' Hamas di utara Gaza serta membunuh kira-kira 8,000 pejuang di kawasan itu.

"Kini, kami memberi tumpuan untuk membongkar Hamas di tengah dan selatan Semenanjung (Gaza). Pertempuran akan berterusan sepanjang 2024. Kami beroperasi mengikut rancangan untuk mencapai matlamat perang, untuk membongkar Hamas di utara dan selatan," katanya.

Serangan Israel setakat ini sudah membunuh 22,722 rakyat Palestin, menurut pegawai kesihatan Palestin semalam, dengan mereka juga sudah memberi isyarat mengurangkan kehadiran pasukannya ke Gaza susulan tekanan pihak antarabangsa berhubung angka kematian yang semakin meningkat serta krisis kemanusiaan di Gaza.

Pertempuran masih berterusan itu mengakibatkan 2.3 juta penduduk di kawasan itu kehilangan tempat tinggal, dengan banyak rumah dan infrastruktur awam ditinggalkan penduduknya, ekoran kesulitan untuk mendapatkan makanan, air dan ubat-ubatan. - REUTERS

Berita Harian X