Ahad, 7 Januari 2024 | 5:04pm
Penyelamat Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PCRS) memindahkan mangsa ke dalam ambulans berikutan serangan ke atas bangunan PCRS, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas, di Khan Younis, Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Penyelamat Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PCRS) memindahkan mangsa ke dalam ambulans berikutan serangan ke atas bangunan PCRS, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas, di Khan Younis, Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Keluarga maut, budak duduk rumah lain terselamat serangan Zionis

KHAN YOUNIS, GAZA: Bimbang serangan udara Israel, Rami Awad menghabiskan masa berhari-hari untuk mencari khemah perlindungan baharu bagi memindahkan keluarganya ke kawasan kem lebih selamat di Rafah, selatan Gaza, namun hasratnya itu tidak kesampaian, menurut anaknya, Mahmoud Awad.

Pada pagi semalam, Rami, isterinya serta dua anak lelaki mereka terbunuh, bersama saudara maranya yang lain, selepas bedilan roket rejim Israel mensasarkan pangsapuri tempat mereka menginap di bandar Khan Younis.

Bagaimanapun, anak lelaki ketiganya, Mahmoud Awad, 11 tahun, terselamat selepas dia bermalam di pangsapuri lain ketika serangan itu berlaku.

Menjelang pagi, kanak-kanak itu berada di bilik mayat Hospital Eropah, melihat jasad ibu bapa dan adik beradiknya yang terbaring dan dibalut kain kafan.

"Ibu meminta saya tidur di rumah Pakcik Issa malam tadi. Jadi saya pergi ke rumah Pakcik Issa dan mereka mengebom rumah (tempat keluarga tinggal).

"Mereka syahid, abang dan bapa saya, Rami Awad, adik bongsu dan abang sulung saya Muat," kata Mahmoud, dikelilingi kanak-kanak lain, sambil cuba menahan kesedihannya.

Saudara maranya yang lain turut berada di bilik mayat berkenaan, termasuk seorang gadis muda yang mengalami kecederaan di muka serta beberapa wanita lebih tua yang memeluknya.

Kesemua mereka turut menangis. Di dalam bilik mayat itu, kelihatan seorang wanita berlutut di sebelah mayat seorang lelaki muda yang mukanya tidak ditutup, menangis sambil meletakkan tangannya di pipinya.

Di antaranya pula kelihatan mayat seorang kanak-kanak kecil. Sebelum perang tercetus, keluarga Mahmod tinggal di al-Shati, salah satu kem pelarian menempatkan rakyat Palestin yang diwujudkan pada 1948.

Al-Shati adalah sebahagian daripada bandar Gaza.

"Kami berada di kem pelarian Shati dan mereka (tentera Israel) menurunkan risalah mengatakan kota Gaza adalah medan perang. Jadi kami melarikan diri ke Khan Younis kerana ia tempat selamat, tapi mereka masih mengebom kami," kata Mahmoud.

Bapa saudara Mahmoud, Mohammed, antara yang berkabung di luar rumah mayat berkenaan.

"Mereka masih bertahan, namun mereka dibom ketika berada di rumah. Dia satu-satunya abang saya. Dia keluar sejak lima hari lalu untuk cuba mendapatkan khemah perlindungan.

"Di sini tidak ada lagi khemah, dia mahu pergi ke barat Rafah, tapi inilah nasibnya," katanya, turut kedengaran bunyi letupan. - REUTERS

Berita Harian X