Sabtu, 6 Januari 2024 | 10:26pm
Orang ramai di stesen kereta api di Seoul menonton siaran berita dengan rakaman salah satu tembakan meriam Korea Utara. - Foto AFP
Orang ramai di stesen kereta api di Seoul menonton siaran berita dengan rakaman salah satu tembakan meriam Korea Utara. - Foto AFP

Korea Utara melepaskan 60 das tembakan artileri berhampiran pulau sempadan Korea Selatan

SEOUL: Tentera Korea Selatan mendakwa tentera Korea Utara melepaskan lebih 60 das tembakan artileri berhampiran Pulau Yeonpyeong hari ini.

Tindakan itu dikesan ketika kedua-dua pihak mengadakan latihan tembakan di kawasan sama, berhampiran sempadan maritim yang menjadi pertikaian dua negara terbabit.

"Tentera Korea Utara melepaskan lebih 60 das tembakan artileri di barat laut Pulau Yeonpyeong pada petang Sabtu," dakwa Ketua Turus Bersama Seoul dalam kenyataan.

Semalam, Korea Utara turut didakwa melepaskan lebih 200 das tembakan artileri berhampiran Pulau Yeonpyeong dan Baengnyeong.

Dua pulau jarang diduduki itu terletak di selatan sempadan maritim yang menjadi pertikaian antara kedua belah pihak.

Semalam dan hari ini, peluru Korea Utara didakwa dikesan memasuki zon penampan yang dikuatkuasakan di bawah perjanjian mengurangkan ketegangan pada 2018.

Perjanjian itu terbatal pada November lalu selepas Korea Utara melancarkan satelit pengintip.

Mengulas lanjut, tentera Korea Selatan hari ini mendakwa tembakan artileri berulang dikesan dilakukan oleh Korea Utara dalam zon larangan tindakan bermusuhan, sehingga menimbulkan ancaman terhadap keamanan di Semenanjung Korea selain meningkatkan lagi ketegangan di wilayah itu.

Menurut Ketua Turus Bersama yang merujuk perjanjian 2018, tuntutan Korea Utara untuk membatalkan sepenuhnya Perjanjian Ketenteraan 19 September terus mengancam rakyat Korea Selatan dengan tembakan artileri berterusan dikesan berlaku dalam zon berkenaan.

"Sebagai tindak balas, tentera kami akan mengambil langkah sewajarnya," tegasnya.

Mengulas dakwaan itu, Korea Utara semalam menjelaskan bahawa latihan tembakan dikelolakan pihaknya tidak mempunyai kesan langsung terhadap pulau yang terletak di sempadan.

Pulau Yeongpyeong mempunyai sekitar 2,000 penduduk terletak kira-kira 115 kilometer (km) di barat Seoul.

Pulau Baengnyeong dengan populasi seramai 4,900 penduduk pula terletak kira-kira 210km ke barat Seoul. - AFP

Berita Harian X