Sabtu, 6 Januari 2024 | 2:16pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Taiwan tuduh China lepaskan belon sebagai strategi perang psikologi

TAIPEI: Kementerian Pertahanan Taiwan menuduh China mengancam keselamatan penerbangan dan melancarkan perang psikologi ke atas penduduk pulau itu.

Ia susulan kes belon yang dilihat berhampiran atau di ruang udara pulau itu, beberapa hari sebelum pilihan raya utama Taiwan.

Potensi untuk China menggunakan belon bagi mengintip menjadi isu global pada Februari tahun lalu apabila Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh apa yang dikatakan sebagai belon pengintipan China.

Bagaimanapun, China berkata belon itu adalah milik awam yang secara tidak sengaja tersesat memasuki ruang udara Taiwan.

Justeru, Taiwan berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk aktiviti ketenteraan dan politik China menjelang pilihan raya presiden dan Parlimen pada 13 Januari ini.

Ia mendakwa China mengenakan tekanan ketenteraan dan ekonomi dalam cubaan untuk campur tangan bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Sejak bulan lalu, Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan beberapa kes belon China terbang di ruang udara Selat Taiwan berhampiran pangkalan udara utama yang sensitif.

Dalam satu kenyataan, kementerian berkata belon itu adalah 'ancaman serius' kepada keselamatan penerbangan antarabangsa memandangkan ia adalah laluan penerbangan mereka.

"Kami juga mengecam tindakan komunis China yang tidak menghiraukan keselamatan penerbangan serta mengabaikan keselamatan penumpang penerbangan rentas Selat Taiwan dan antarabangsa," katanya.

Kementerian itu berkata, analisisnya ialah belon berkenaan adalah sebahagian daripada taktik 'zon kelabu' China terhadap Taiwan dalam percubaan untuk menggunakan peperangan kognitif bagi menjejaskan semangat rakyatnya.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan China, Pejabat Hal Ehwal Taiwan dan pentadbiran penerbangan awam tidak memberi sebarang komen.

Kementerian pertahanan China minggu lalu enggan mengulas mengenai belon itu pada sidang akhbar bulanannya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, dalam tempoh 24 jam sebelum ini ia mengesan dua lagi belon China, termasuk salah satu yang terbang seketika di hujung utara pulau itu.

Kementerian itu berkata, ia menganggap belon berkenaan kebanyakannya untuk pemantauan cuaca, didorong oleh angin semasa tahun ini.

Sejak empat tahun lalu, Taiwan mengadu mengenai tindakan ketenteraan China yang dipertingkatkan seperti jet pejuang yang kerap terbang di ruang udara selat itu sebagai sebahagian daripada strategi 'zon kelabu'./

Matlamatnya ialah untuk melemahkan Taiwan dengan tindakan menggertak habis-habisan, selangkah daripada melancarkan serangan ketenteraan. - REUTERS

Berita Harian X