Sabtu, 6 Januari 2024 | 9:01am
Penduduk Palestin bersedia untuk upacara pengebumian mangsa serangan semalaman Israel di kem pelarian Al-Maghazi, dan kini ditempatkan di Hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Penduduk Palestin bersedia untuk upacara pengebumian mangsa serangan semalaman Israel di kem pelarian Al-Maghazi, dan kini ditempatkan di Hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

AS, Eropah mula tekanan diplomatik baru hentikan perang di Gaza

GAZA: Tekanan diplomatik baharu diusahakan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dan diplomat kanan Eropah, Josep Borrell bagi menghentikan perang yang berlaku di Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Kedua-duanya akan sekali lagi melawat beberapa negara di Asia Barat, selepas tiga bulan perang berlanjutan antara Israel dan Hamas, yang sehingga kini sudah meragut nyawa 22,600 penduduk Palestin.

Sementara itu, Israel mendakwa sudah membunuh 8,000 pejuang Hamas sejak serangan bermula yang meragut nyawa 1,200 penduduk Israel.

Blinken dijangka melawat Tebing Barat dalam rangka lawatan selama seminggu yang bermula semalam di Turkiye, selaku antara negara ditawarkan untuk menjadi pengantara.

Beliau juga akan melawat Israel, Jordan, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Mesir.

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, dorongan diplomatik itu bukan untuk kepentingan sesiapa, bukan Israel, bukan untuk rantau itu dan bukan kepada dunia, sebaliknya untuk mencegah konflik merebak ke luar Gaza.

Dalam pada itu, Ketua Dasar Luar EU, Borrell, juga akan tiba di Lubnan bagi mengusahakan penamatan perang di Gaza.

Sementara itu, kira-kira 162 orang terbunuh semalam, dalam serangan semalaman ke atas wilayah Al-Maghazi, Al-Bureij dan Al-Nusseirat yang padat dengan penduduk.

Di selatan pula, ratusan ribu penduduk Gaza bergerak jau lagi ke selatan berikutan amaran Israel selepas 12 orang terbunuh dalam serangan ke atas Khan Younis.

Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, tiga lagi maut dan tujuh cedera dalam serangan Israel ke atas sebuah rumah di tengah Gaza, Deir Al-Balah.

Warga Palestin meratapi kematian anggota keluarga yang terbunuh dalam serangan semalaman Israel di kem pelarian Al-Maghazi, dan kini ditempatkan di Hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Warga Palestin meratapi kematian anggota keluarga yang terbunuh dalam serangan semalaman Israel di kem pelarian Al-Maghazi, dan kini ditempatkan di Hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Penduduk menyifatkan ia adalah serangan udara terbaru Israel yang dilancarkan dalam dalam keadaan gelap.

"Kerajaan Israel tuntut demokrasi dan kemanusiaan, tapi tidak berperikemanusiaan," kata penduduk, Abdel Razek Abu Sinjar, sambil menangis di sisi mayat isteri dan anak-anaknya yang terkorban apabila rumahnya di Rafah, sempadan Mesir, diserang.

Di Jabalia, utara Gaza, orang ramai meredah melalui jalan yang hancur dipenuhi sisa runtuhan bangunan dengan kumbahan dan sampah. Kebuluran dan penyakit membawa maut semakin merebak dengan meluas.

Tentera Israel berkata, ia menyerang lebih 100 sasaran di Gaza dalam tempoh 24 jam yang lalu, membunuh lelaki bersenjata yang cuba menyerang kereta kebal di Al-Bureij dan lain-lain di Khan Younis.

Sementara itu, Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, berkata AS harus memberi tumpuan untuk menamatkan pencerobohan terhadap rakyat Palestin dan pendudukan tanah mereka secara haram.

"Kami berharap Blinken belajar sesuatu dalam tiga bulan lalu dan menyedari sejauh mana kesilapan dibuat AS dengan menyokong pendudukan Zionis secara membuta tuli.

"AS mempercayai pembohongan Israel, yang mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap penduduk di Gaza," katanya dalam satu ucapan.

Pemimpin gerakan Hizbollah yang disokong Iran di Lubnan, Hassan Nasrallah, berkata ia sudah menjalankan sekitar 670 operasi ketenteraan di sempadan dengan Israel dan memusnahkan banyak kenderaan tentera Israel.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata fasa seterusnya termasuk serbuan di utara untuk merobohkan terowong dan tumpuan di selatan untuk menyelamatkan kira-kira 132 tebusan Israel yang masih ditahan Hamas. - REUTERS

Berita Harian X