Jumaat, 5 Januari 2024 | 4:44pm
Sekurang-kurangnya 84 orang maut dalam dua letupan di kawasan perkuburan ketika ribuan sedang berkumpul memperingati ulang tahun keempat kematian Komander Tertinggi Tentera Iran, Jeneral Qassem Soleimani. - Foto AFP
Sekurang-kurangnya 84 orang maut dalam dua letupan di kawasan perkuburan ketika ribuan sedang berkumpul memperingati ulang tahun keempat kematian Komander Tertinggi Tentera Iran, Jeneral Qassem Soleimani. - Foto AFP

Tragedi Kerman angkara pengebom bunuh diri - Laporan

TEHRAN: Tragedi letupan yang berlaku di kawasan sesak di bandar Kerman, Iran kelmarin dikatakan berpunca daripada serangan pengebom bunuh diri, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Sekurang-kurangnya 84 orang maut dalam dua letupan di kawasan perkuburan ketika ribuan sedang berkumpul untuk memperingati ulang tahun keempat kematian Komander Tertinggi Tentera Iran, Jeneral Qassem Soleimani.

Soleimani, bekas ketua Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada Januari 2020.

IRNA yang memetik sumber melaporkan bahawa berdasarkan siasatan terperinci, termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati letupan pertama dilakukan oleh pengebom bunuh diri dan usaha untuk mengenal pasti identiti suspek sedang dijalankan.

Menurut sumber, satu lagi letupan mungkin berpunca daripada pengebom bunuh diri namun siasatan masih diteruskan.

Sementara itu, kumpulan Daesh dalam satu kenyataan di Telegram mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan.

Serangan itu meragut banyak nyawa dan disifatkan insiden paling tragis sejak revolusi 1979.

Sebelum ini, Presiden Ebrahim Raeisi dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Vahidi mendakwa Israel dan dan sekutunya dari Barat dalang di sebalik serangan itu. – BERNAMA-Anadolu

Berita Harian X