Jumaat, 5 Januari 2024 | 4:30pm
Rakyat Palestin yang cedera dalam serangan Israel berbaring di atas katil ketika orang yang kehilangan tempat tinggal berlindung di Hospital Shuhada Al-Aqsa di Deir Al-Balah di tengah Gaza. - Foto REUTERS
Rakyat Palestin yang cedera dalam serangan Israel berbaring di atas katil ketika orang yang kehilangan tempat tinggal berlindung di Hospital Shuhada Al-Aqsa di Deir Al-Balah di tengah Gaza. - Foto REUTERS

Hospital Gaza terima mayat 155 mangsa serangan Israel di kem pelarian bulan lalu

LONDON: Hospital Al-Aqsa di Gaza menerima mayat 155 rakyat Palestin, manakala 357 lagi mangsa yang cedera susulan serangan Israel ke atas dua kem pelarian bulan lalu, menurut badan amal perubatan Doctors Without Borders (MSF) semalam.

Berikutan itu MSF mengulangi gesaan untuk gencatan senjata dilaksanakan di wilayah berkenaan.

"Dari hospital, kami dapat mendengar pengeboman di kawasan kejiranan timur laut Hospital Al-Aqsa di kawasan tengah Gaza, berhampiran kem pelarian Al-Bureij dan Al-Maghazi," memetik Carolina Lopez, penyelaras kecemasan MSF di wilayah yang dikepung itu di platform X.

"Tiada sesiapa dan tiada tempat yang selamat di Gaza," kata MSF.

"Kami memerlukan gencatan senjata yang berterusan sekarang untuk mengelakkan lebih banyak kematian dan kecederaan, untuk memastikan penyampaian bantuan tanpa halangan, dan peningkatan besar-besaran penjagaan kesihatan untuk memenuhi keperluan perubatan rakyat Gaza," tambahnya.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan penentang Palestin Hamas pada 7 Oktober.

Sekurang-kurangnya 22,438 rakyat Palestin terbunuh dan 57,614 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, manakala hampir 1,200 warga Israel dipercayai terbunuh dalam serangan Hamas.

Serangan itu menyebabkan Gaza musnah, dengan 60 peratus infrastruktur di wilayah itu rosak atau musnah dan hampir dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal akibat kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk. - AGENSI

Berita Harian X