Selasa, 2 Januari 2024 | 4:46pm
Sungai Coomera melimpahi Jalan Clagiraba di Gold Coast Australia pada 2 Januari 2024. - Foto EPA-EFE​
Sungai Coomera melimpahi Jalan Clagiraba di Gold Coast Australia pada 2 Januari 2024. - Foto EPA-EFE​

Penduduk diarah berpindah, banjir kilat landa Australia

SYDNEY: Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan rendah untuk berpindah ke kawasan lebih tinggi berikutan banjir kilat yang berlaku di bahagian timur Australia hari ini.

Hujan lebat secara berterusan itu turut menyebabkan kerosakan harta benda. Beberapa wilayah merentasi tenggara Queensland dan utara New South Wales mencatatkan jumlah hujan sekurang-kurangnya dua bulan sejak tiga hari lalu.

Springbrook di Queensland menerima 514 mm (mm) hujan sepanjang 48 jam yang lalu, lebih daripada dua kali ganda purata pada Januari.

Timbalan Perdana Menteri Queensland, Cameron Dick menggesa orang ramai supaya menjauhi jalan raya sehingga cuaca cerah.

"Jalan raya akan berbahaya dan banjir kilat yang mengancam nyawa boleh berlaku di tempat yang anda tidak jangkakan," kata Dick semasa sidang medianya.

Taburan hujan sehingga 350mm diramalkan berlaku dalam tempoh 24 jam akan datang, dengan Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran cuaca buruk menjangkau lebih 250 kilometer (km) merentasi wilayah Wide Bay Burnett dan tenggara Queensland.

"Dengan taburan hujan lebat ini, air sungai dan anak sungai akan meningkat dengan sangat cepat dan memberi risiko kepada orang ramai tanpa disedari," kata Timbalan Pesuruhjaya Perkhidmatan Kecemasan Queensland, Kevin Walsh.

Di New South Wales, puluhan orang diselamatkan dari tapak perkhemahan yang biasanya menjadi sesak ketika cuti hujung minggu kerana mengalami banjir.

Rakaman televisyen menunjukkan kru penyelamat mengharungi air paras pinggang, kereta tersangkut dalam air banjir, pokok tumbang berada di atas bumbung serta air mula memasuki rumah.

Beberapa wilayah yang dilanda cuaca teruk itu sebelum ini turut mengalami bencana ribut sepanjang cuti Krismas sehingga mengorbankan 10 orang dan puluhan ribu pengguna terjejas bekalan elektrik. Kira-kira 11,000 perumahan masih tiada bekalan elektrik. - REUTERS

Berita Harian X