Jumaat, 29 Disember 2023 | 11:31pm
Ibu kepada kembar lapan tahun, Ahmed dan Jihan Nasser, yang terbunuh semasa pengeboman Israel, meratapi mayat mereka di hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Ibu kepada kembar lapan tahun, Ahmed dan Jihan Nasser, yang terbunuh semasa pengeboman Israel, meratapi mayat mereka di hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata 21,507 terbunuh, 55,915 cedera dalam peperangan

SEMENANJUNG GAZA, Wilayah Palestin: Kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas hari ini berkata, sekurang-kurangnya 21,507 orang terbunuh di wilayah Palestin sejak perang dengan Israel meletus hampir 12 minggu lalu.

Angka itu termasuk 187 kematian dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata satu kenyataan kementerian.

Ia menambah bahawa, 55,915 orang telah cedera di Gaza semasa pertempuran.

Sejak pertempuran meletus pada 7 Oktober, yang dicetuskan oleh serangan maut ke atas Israel, lebih 80 peratus daripada 2.4 juta penduduk Gaza telah dihalau dari rumah mereka, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA, berkata 308 orang yang mencari perlindungan di kemudahan mereka telah terbunuh semasa perang.

Tentera Israel berkata, 115 tentera telah terbunuh dalam perang Gaza.

Seramai 1,095 telah cedera ketika berlindung di tapak PBB, kata UNRWA di platform media sosial X.

Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serangan kumpulan pejuang Palestin pada 7 Oktober yang menyebabkan kira-kira 1,140 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka Israel.

Kira-kira 250 tebusan turut diambil semasa serangan itu, lebih separuh daripadanya kekal dalam tawanan menurut Israel. - AFP

Berita Harian X