Jumaat, 29 Disember 2023 | 7:04pm
Seseorang berjalan melepasi hiasan untuk sambutan Tahun Baharu 2024, di Shanghai, China. - Foto EPA
Seseorang berjalan melepasi hiasan untuk sambutan Tahun Baharu 2024, di Shanghai, China. - Foto EPA

Larangan bunga api cetuskan perdebatan sengit menjelang Tahun Baharu Cina

BEIJING: Penggubal undang-undang di China hari ini telah mencetuskan perdebatan sengit dalam talian berkaitan sama ada bunga api patut digunakan pada Tahun Baharu Cina Februari ini.

Mereka menjelaskan larangan sepenuhnya penggunaan bunga api itu adalah sukar dilaksanakan.

Dalam tindak balas luar biasa itu, penggubal undang-undang menyatakan undang-undang pencegahan pencemaran udara dan peraturan keselamatan kebakaran telah memberi pemahaman yang berbeza terhadap larangan penggunaan bunga api.

Pada 2017, data rasmi menunjukkan 444 bandar mengharamkan bunga api.

Sejak itu, beberapa bandar sudah mengecilkan sekatan, membenarkan bunga api hanya diguna pada masa tertentu dalam setahun dan di tempat ditetapkan.

Bagaimanapun, bulan ini banyak daerah mengeluarkan notis melarang bunga api, sekaligus menghidupkan semula perbincangan mengenai larangan itu.

"Kami mempunyai hak terhadap bunga api," ciap seorang pengguna Weibo, laman web microblog popular di China.

Bunga api terawal dicipta 2,000 tahun lalu untuk menghalau 'nian', mitos berupa seekor raksasa yang akan datang pada hari pertama Tahun Baharu Cina sebagai pemangsa kepada manusia dan haiwan ternakan.

Sejak itu, bunga api digunakan untuk meraikan majlis keramaian.

Januari ini, selepas tiga tahun sekatan COVID-19 ditarik balik, ramai yang mengingkari larangan itu termasuk pihak berkuasanya.

Bagaimanapun, sesetengah rakyat China menyatakan larangan bunga api itu perlu untuk melindungi alam sekitar.

"Ia harus dikawal selia kerana pencemaran dan bahaya (bahan api)," ciap seorang pengguna Weibo.

Tinjauan pendapat dalam talian oleh Beijing Youth Daily minggu ini, mendapati lebih 80 peratus responden menyatakan sokongan untuk bunga api diguna semasa Festival Musim Bunga, cuti paling penting dalam kalendar China.

Ada juga menyatakan larangan itu sebagai ironi selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu menerima pakai Festival Musim Bunga sebagai cuti umum, satu langkah disambut baik pihak berkuasa China.

"Festival Musim Bunga adalah milik dunia, namun di China ia hampir hilang," ciap seorang pengguna Weibo yang lain.

Di wilayah selatan Hunan, iaitu hab utama pembuatan bunga api merekodkan nilai eksport berjumlah 4.11 bilion yuan (AS$579 juta/RM2,659) antara Januari hingga November, jauh melebihi jualan domestik. - REUTERS

Berita Harian X