Khamis, 28 Disember 2023 | 5:43pm
Tiga aktivis Hong Kong dipenjarakan sehingga enam tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkaitan rancangan meletakkan bom di bangunan mahkamah dan infrastruktur awam lain pada 2021. - Foto REUTERS
Tiga aktivis Hong Kong dipenjarakan sehingga enam tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkaitan rancangan meletakkan bom di bangunan mahkamah dan infrastruktur awam lain pada 2021. - Foto REUTERS

Tiga pelajar Hong Kong dipenjarakan kerana komplot bom 'pengganas'

HONG KONG: Tiga pelajar Hong Kong dipenjarakan sehingga enam tahun, hari ini kerana berperanan dalam dalam konspirasi untuk meletupkan bangunan kerajaan, dengan salah seorang turut mengaku bersalah atas 'aktiviti pengganas' di bawah undang-undang keselamatan negara.

Ketiga-tiga mereka - kini berusia antara 20 hingga 23 tahun - ialah defendan terakhir yang disabitkan dalam siri pendakwaan yang dibuat sejak lebih dua tahun lalu, terhadap kumpulan yang digelar 'Returning Valiant'.

Kumpulan itu yang kebanyakannya diketuai pelajar mempromosikan kemerdekaan daripada China dan menggesa penentangan terhadap undang-undang keselamatan negara yang dilaksanakan pada 2020 bagi memadamkan perbezaan pendapat, susulan protes prodemokrasi yang besar dan kadang-kala ganas yang bermula pada tahun sebelumnya.

Kumpulan itu didakwa merancang untuk membuat bom menggunakan bahan letupan TATP pada 2021 dan melepaskannya di kawasan awam termasuk bangunan mahkamah.

Sebelum bahan letupan dibuat, polis keselamatan negara Hong Kong menangkap mereka pada Julai tahun itu.

Menurut pendakwa raya, Ho Yu-wang, ketika itu berusia 17 tahun semasa ditahan, 'paling bertanggungjawab untuk membuat bahan letupan'.

Setelah dipenjarakan selama lebih dua tahun, Ho dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana 'konspirasi untuk melakukan aktiviti keganasan' dengan mahkamah mengisytiharkan dia sebagai 'ketua' kumpulan itu.

Kwok Man-hei pula baru berusia 21 tahun dalam tahanan manakala Cheung Ho-yeung, seorang pelajar universiti berusia 23 tahun disabitkan dalam kes itu pada April, dan kedua-duanya mengaku bersalah atas 'konspirasi untuk menyebabkan letupan'.

Kwok dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun, manakala Cheung dipenjara enam tahun kerana mahkamah diberitahu, dia menjadi orang pertama yang membangkitkan idea 'mensasarkan pejabat kerajaan, bangunan mahkamah dan kuarters polis'.

Pendakwa raya juga berkata, Cheung menyediakan HK$40,000 (AS$5,100/RM23,505) untuk Ho membeli peralatan dan bahan kimia.

"Suasana sosial yang bermusuhan pada 2019 dan 2020 mungkin mengubah beberapa orang yang mempunyai watak yang baik sebelum ini menjadi radikal.

"Tidak kira apa tujuan defendan, rancangan itu tanpa sebarang keraguan adalah sesuatu yang jahat," kata Hakim Mahkamah Tinggi Alex Lee, salah seorang hakim yang dipilih sendiri oleh kerajaan untuk membicarakan kes keselamatan negara.

Sebelum ini, 11 anak muda yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu disabitkan kesalahan dalam dua kes pertama, adalah membabitkan remaja bawah umur di bawah undang-undang keselamatan.

Hukuman terhadap 'kanak-kanak' mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyatakan amaran pada tahun lalu. - AFP

Berita Harian X