Selasa, 26 Disember 2023 | 2:29pm
Penduduk Palestin meratapi kehilangan anggota keluarga yang terbunuh dalam serangan Israel semalaman di kem pelarian Al-Maghazi, selatan Semenanjung Gaza, di perkarangan hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Deretan jenazah penuhi perkarangan hospital di Gaza

GENEVA: Kakitangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melawat hospital di Gaza, mendengar pelbagai cerita memilukan mengenai seluruh keluarga yang terbunuh dan melihat sendiri jenazah kanak-kanak terkorban.

Ketua Agensi Kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) itu, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pasukannya mendengar pelbagai kisah mengerikan yang dikongsi oleh pekerja kesihatan dan mangsa.

"Seorang kanak-kanak kehilangan seluruh keluarga di kem pelarian. Seorang jururawat di hospital berdepan kehilangan yang sama," katanya.

Kementerian Kesihatan di Gaza, memberitahu sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas tiga rumah di kem pelarian Al-Maghazi, Ahad lalu.

Deretan mayat mangsa ditutupi kain putih yang memenuhi perkarangan hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah menyambut ketibaan kakitangan WHO, menjelang upacara pengebumian besar-besaran.

Penduduk Palestin berkumpul di lokasi pengeboman Israel semalaman yang mengakibatkan rumah penduduk di kem pelarian Al-Maghazi, selatan Semenanjung Gaza, musnah. - Foto REUTERS
Penduduk Palestin berkumpul di lokasi pengeboman Israel semalaman yang mengakibatkan rumah penduduk di kem pelarian Al-Maghazi, selatan Semenanjung Gaza, musnah. - Foto REUTERS

Tedros berkata, kakitangan hospital Al-Aqsa melaporkan menerima kira-kira 100 mangsa daripada hanya satu kes letupan.

"Hospital menerima lebih ramai pesakit daripada kapasiti katil dan kakitangan yang mampu mengendalikannya.

"Ramai yang tidak akan bertahan dan kadar kematian dijangka meningkat, dengan lebih ramai mangsa perang dibawa masuk saban hari," katanya

WHO memberi amaran bahawa hanya sembilan daripada 36 hospital di Gaza masih berfungsi, itu pun jauh daripada keupayaan sebenarnya, dengan kekurangan atau tiada langsung bekalan perubatan serta kakitangan perubatan.

"Kita sebagai masyarakat antarabangsa tidak seharusnya menerima kenyataan bahawa ribuan orang dan kanak-kanak diletupkan, dibunuh ketika menyeberang jalan atau ketika serang tidur di atas katil mereka, di luar zon perang.

"Ini adalah hakikat yang tidak boleh diterima. Ia harus dihentikan," katanya yang menuntut gencatan senjata. - AFP

Berita Harian X