Selasa, 26 Disember 2023 | 10:07am
Anggota keluarga meratapi kehilangan orang tersayang dalam serangan Israel di kem pelarian Al-Maghazi, ketika menuntut jenazah di hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Anggota keluarga meratapi kehilangan orang tersayang dalam serangan Israel di kem pelarian Al-Maghazi, ketika menuntut jenazah di hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Ruang selamat bagi penduduk Gaza makin sempit - PBB

GAZA: Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang mengikuti arahan pemindahan oleh tentera Israel kini ditempatkan di kawasan yang semakin sempit dan sudah berpenduduk padat.

Ketua Pasukan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Gemma Connell berkata, tiada jaminan mana-mana destinasi yang dituju penduduk di Gaza adalah selamat.

Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa minggu lalu menekan sekutu tegar, Israel, untuk mengambil langkah mengurangkan ancaman terhadap orang awam dengan mengenal pasti kawasan selamat dan membuka laluan kemanusiaan untuk mereka menyelamatkan diri.

"Orang ramai menuju ke selatan untuk cuba mencari tempat yang selamat, namun dibedil tidak kira di mana saja mereka berada termasuk kawasan diisytihar selamat oleh tentera Israel.

"Saya sudah bercakap dengan ramai orang, sangat sedikit ruang yang tinggal di Rafah sehingga orang ramai tidak tahu ke mana mereka mahu pergi.

Kepulan asap akibat pengeboman Israel di Rafah, benteng terakhir bagi pelarian Palestin berlindung di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Kepulan asap akibat pengeboman Israel di Rafah, benteng terakhir bagi pelarian Palestin berlindung di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

"Orang ramai melarikan diri dari satu kawasan ke kawasan lain, tetapi tiada tempat yang benar-benar selamat bagi mereka," katanya ketika melawat kejiranan Deir al-Balah di tengah Gaza.

Tambah Connell, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun bernama Ahmed meninggal dunia di hospital al-Aqsa di Deir Al-Balah.

"Dia tidak berada di kawasan di bawah perintah pemindahan dan berada di kawasan yang sepatutnya selamat, namun menemui ajal dalam operasi pengeboman Israel ketika sedang tidur.

"Tiada lagi tempat selamat di Gaza," katanya, sambil menambah bahawa serangan udara baru berlaku ketika beliau berada di hospital dan menyaksikan mangsa yang cedera dibawa masuk.

Beliau turut berkongsi teks pemberitahuan daripada tentera Israel yang menggesa penduduk di kawasan kejiranan tengah Gaza untuk berpindah Jumaat lalu.

Pegawai Kesihatan Palestin di Gaza berkata serangan udara Israel di tengah dan selatan Gaza membunuh lebih 100 rakyat Palestin, meningkatkan jumlah kematian kepada hampir 20,700 mangsa. - REUTERS

Berita Harian X