Sabtu, 23 Disember 2023 | 9:28am
Gambar dikeluarkan oleh tentera Israel ketika operasi di Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Gambar dikeluarkan oleh tentera Israel ketika operasi di Semenanjung Gaza. - Foto AFP

PBB lulus resolusi lebih banyak bantuan ke Gaza

SEMENANJUNG GAZA: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi untuk meningkatkan bantuan kepada wilayah Palestin.

Pada masa sama, pertempuran masih berterusan di antara tentera Israel dan pejuang Hamas di Gaza, manakala orang awam terkepung dan bergelut untuk mencari makanan.

Kementerian Kesihatan Hamas memaklumkan lebih 410 orang terbunuh dalam pengeboman Israel selama 48 jam, termasuk 16 orang terkorban dalam serangan pada Jumaat di daerah Jabalia, Bandar Gaza.

Katanya, empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan, maut dalam satu lagi serangan ke atas kenderaan awam di Rafah, selatan Gaza.

Sementara itu, rakaman video AFP memperlihat pengeboman itu terkena bumbung kenderaan hingga mengakibatkan kerosakan teruk, hangus serta penumpang berlumuran darah.

"Kenderaan itu antara yang terkena serangan bom. Lima minit kemudian orang ramai berkumpul dan serangan kedua berlaku," kata saksi, Hamada Abu Taha.

Pada Jumaat, UNSC akhirnya menerima-pakai resolusi yang meminta semua pihak dalam konflik membenarkan penyaluran bantuan kemanusiaan secara selamat dan tanpa halangan.

Resolusi PBB menggesa mewujudkan kaedah menghentikan permusuhan berterusan tetapi tidak menggesa supaya pertempuran dihentikan segera.

Awal bulan ini, sekutu Israel, Amerika Syarikat menyekat undi yang menggesa gencatan senjata, berkecuali bersama-sama Russia.

Undian selepas Program Makanan Sedunia PBB memberi amaran penduduk Gaza akan menghadapi kebuluran yang teruk. - AFP

Kanak-kanak Palestin terkesan dengan serangan Israel di Rafah, selatan Gaza, semalam. - Foto AFP
Kanak-kanak Palestin terkesan dengan serangan Israel di Rafah, selatan Gaza, semalam. - Foto AFP

Berita Harian X