Rabu, 20 Disember 2023 | 12:32pm
Koordinator Khas PBB untuk Proses Keamanan di Asia Barat, Tor Wennesland (kanan dalam skrin) bercakap daripada Baitulmaqdis ketika mesyuarat Majlis Keselamatan PBB berkenaan `Situasi di Timur Tengah termasuk Palestin’ di Ibu Pejabat PBB di New York, hari ini. - Foto AFP
Koordinator Khas PBB untuk Proses Keamanan di Asia Barat, Tor Wennesland (kanan dalam skrin) bercakap daripada Baitulmaqdis ketika mesyuarat Majlis Keselamatan PBB berkenaan `Situasi di Timur Tengah termasuk Palestin’ di Ibu Pejabat PBB di New York, hari ini. - Foto AFP

`2023 tahun paling banyak kematian dalam sejarah konflik Palestin-Israel'

NEW YORK: Koordinator Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Keamanan di Asia Barat, Tor Wennesland berkata 2023 yang akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi, sebagai satu daripada tahun menyaksikan paling banyak kematian dalam sejarah konflik Palestin-Israel.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Asia Barat, termasuk persoalan Palestin.

Wennesland turut menyentuh mengenai situasi kemanusiaan yang semakin teruk di seluruh Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Palestin WAFA.

"Penghantaran bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza terus berdepan cabaran yang hampir tidak dapat diatasi," katanya.

Menurut beliau, jumlah penduduk dipaksa berpindah dan pertempuran sengit sukar dibayangkan manakala sistem tindak balas kemanusiaan berada di ambang kehancuran.

Beliau juga mengutuk pembunuhan orang awam di Gaza, termasuk wanita dan kanak-kanak selain menyatakan kesedihannya berhubung kematian penduduk, termasuk 131 kakitangan PBB yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza.

Wennesland pada masa sama menyuarakan `kebimbangan mendalam' berhubung ketegangan yang semakin meningkat di Tebing Barat yang diduduki, termasuk di Baitulmaqdis Timur.

Beliau turut bimbang terhadap serangan yang dilakukan oleh pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

"Semua pelaku keganasan mesti bertanggungjawab dan segera dibawa ke muka pengadilan," katanya.

WAFA melaporkan Wennesland turut terkejut dengan pelbagai insiden pegawai yang mengagungkan keganasan dan menggalakkan pembunuhan orang awam.

Wennesland berkata tindakan merampas tanah Palestin untuk dijadikan penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, mengancam usaha mewujdukan negara Palestin yang merdeka.

Beliau mengulangi penempatan haram Israel merupakan pencabulan terang-terangan terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa serta menyeru rejim Israel untuk menghentikan aktiviti itu serta-merta.

Menurut beliau, PBB kekal komited untuk menyokong rakyat Palestin dan Israel dalam menamatkan pendudukan dan menyelesaikan konflik selaras dengan undang-undang antarabangsa, resolusi PBB yang berkaitan dan perjanjian dua hala dalam usaha mencapai penyelesaian dua negara.

Sekurang-kurangnya 19,660 dilaporkan terbunuh manakala lebih 52,500 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober.

- BERNAMA-WAFA

Berita Harian X