Selasa, 19 Disember 2023 | 8:49pm
Orang ramai membawa barangan milik mereka meredah banjir di Chennai, Tamil Nadu di India. - Foto AFP
Orang ramai membawa barangan milik mereka meredah banjir di Chennai, Tamil Nadu di India. - Foto AFP

Ratusan terkandas di Tamil Nadu, India akibat banjir

CHENNAI: Hujan lebat di beberapa kawasan di Tamil Nadu, menenggelamkan jalan raya, menjejaskan perkhidmatan kereta api dan menyebabkan pihak berkuasa bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa yang terkandas.

Banjir itu berlaku ketika negeri di selatan India itu masih sedang dalam pemulihan daripada kerosakan akibat Taufan Michaung, yang melanda pantai bulan ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya 13 orang terkorban.

Tamil Nadu menerima hampir 50 milimeter (mm) taburan hujan antara Ahad dan semalam, berbanding 2.5 mm hujan semasa yang biasanya diterima pada tahun ini, kata Jabatan Cuaca dan lebih banyak hujan diramalkan hari ini.

Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya lima orang maut dalam banjir dan kemalangan berkaitan hujan, dengan yang paling terjejas ialah daerah Tuticorin, Tirunelveli, Tenkasi dan Kanyakumari.

Keseluruhan kawasan kejiranan kekal tenggelam hingga hari ini, dengan rumah kelihatan seperti pulau sunyi yang dikelilingi air keruh dan coklat, menurut rakaman dari agensi berita India ANI.

Pasukan menggunakan rakit untuk menyelamatkan orang dari rumah dan kuil, dan untuk mengedarkan paket makanan kepada mereka yang tidak dapat dipindahkan ke tempat selamat.

Seorang penduduk di Tirunelveli , P Veeramanikandan, antara sukarelawan yang bekerja dengan pihak berkuasa dalam usaha menyelamat, berkata beberapa kawasan masih terlalu berbahaya untuk dimasuki.

"Kawasan yang terletak berhampiran tebing sungai masih terjejas teruk, manakala paras air di kawasan lain mulai surut," katanya.

Kira-kira 500 penumpang dalam perjalanan ke ibu negeri Chennai masih terkandas di stesen selama lebih 36 jam hingga petang ini, selepas perkhidmatan kereta api ditamatkan awal dan digantung operasi di wilayah itu, lapor media tempatan.

Kerajaan negeri menyalahkan bencana itu disebabkan 'hujan memecah rekod' yang dikatakan tertinggi dalam tempoh enam dekad, selain keadaan menjadi lebih buruk kerana ramalan dan amaran diterima 'agak lambat'.

Ketua Menteri Tamil Nadu, MK Stalin pada taklimat media, berkata kerajaan negeri sudah memindahkan kira-kira 12,653 orang ke 141 kem bantuan dengan makanan, air, ubat-ubatan dan keperluan.

Makanan juga diagihkan menggunakan helikopter.

Bencana banjir tidak asing di Tamil Nadu dengan lapan tahun lalu, ibu negerinya di Chennai dilanda hujan lebat yang membanjiri sebahagian besar bandar itu dan membunuh kira-kira 290 orang. - REUTERS

Berita Harian X