Isnin, 18 Disember 2023 | 2:10pm
Seorang lelaki mendukung kanak-kanak yang cedera akibat serangan Israel, tiba di hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Seorang lelaki mendukung kanak-kanak yang cedera akibat serangan Israel, tiba di hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Israel bantu, bedil Gaza pada masa sama

BAITULMAQDIS: Israel membuka laluan terus bagi penghantaran bantuan ke Gaza buat pertama kali sejak perang lebih dua bulan lalu tetapi pada masa sama meningkatkan serangan udara dan darat di wilayah sama.

Persimpangan Kerem Shalom antara Israel dan Gaza itu dibuka untuk trak bantuan semalam buat pertama kali sebagai langkah menggandakan penghantaran makanan dan ubat yang sampai ke Gaza.

Pada masa sama, serangan Israel yang menyaksikan pertempuran sengit di sepanjang Semenanjung Gaza dipertingkatkan sehingga mengakibatkan komunikasi terputus dan menyukarkan pihak berkaitan untuk menghubungi mereka yang cedera.

Sebahagian besar daripada 2.4 juta penduduk Palestin kini bersesak di beberapa kem pelarian yang masih terselamat apabila Israel selesai mengebom keseluruhan Gaza, selain berlindung di Rafah dekat sempadan Mesir.

Orang ramai memeriksa kerosakan akibat bedilan tentera di salah sebuah bilik di hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Orang ramai memeriksa kerosakan akibat bedilan tentera di salah sebuah bilik di hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Sikap Israel yang mahu segerakan rundingan pembebasan tebusan yang diculik Hamas dan serentak itu bertekad mahu berjuang untuk menghapuskan Hamas dilihat sebagai tidak ikhlas.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, memberitahu pemberita di Tel Aviv bahawa Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berazam untuk menyelesaikan tugas menghapuskan Hamas.

Sehari sebelum itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kelihatan memberi isyarat keterbukaan kepada rundingan, tetapi masih berikrar untuk mengekalkan tekanan sengit terhadap tenteranya.

Penduduk Palestin mengangkat guni tepung yang diedarkan Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA), di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Penduduk Palestin mengangkat guni tepung yang diedarkan Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA), di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Serangan Israel ke atas kem pelarian Jabalia di utara Gaza menyebabkan 90 rakyat Palestin terbunuh, kata jurucakap kementerian kesihatan Gaza memberitahu Reuters. Tiada tindak balas segera oleh Israel.

Seorang doktor berkata puluhan orang terbunuh atau cedera apabila membabitkan rumah dan bangunan berdekatan musnah dibedil Israel.

"Kami percaya bilangan orang meninggal dunia di bawah runtuhan adalah besar tetapi tiada cara untuk mengeluarkan runtuhan dan memulihkan mereka kerana tembakan Israel," katanya menerusi telefon.

Di Deir al-Balah, tengah Gaza, pakar perubatan berkata 12 rakyat Palestin terbunuh dan puluhan orang tercedera, manakala di selatan Rafah serangan udara Israel ke atas sebuah rumah menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terkorban. - AFP

Berita Harian X