Ahad, 17 Disember 2023 | 9:27pm
Keluarga dan rakan bersedih dengan kematian jurukamera Al Jazeera, Samer Abu Daqa dalam kempen serangan Israel ketika proses pengkebumian di Khan Yunis, Gaza semalam. - Foto AFP
Keluarga dan rakan bersedih dengan kematian jurukamera Al Jazeera, Samer Abu Daqa dalam kempen serangan Israel ketika proses pengkebumian di Khan Yunis, Gaza semalam. - Foto AFP

92 wartawan maut dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza

BANDARAYA GAZA: Sekurang-kurangnya 92 wartawan terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel yang berlanjutan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu, menurut pejabat media kerajaan di Palestin hari ini.

Mangsa terbaharu ialah wartawan Rami Badir dan Assem Kamal Musa yang terbunuh akibat serangan tentera penceroboh Israel sejak dua hari lalu, Agensi Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan pejabat itu.

Bagaimanapun, pejabat itu tidak mendedahkan butiran lanjut.

"Dengan membunuh wartawan, Israel cuba untuk mengaburi naratif Palestin dan cuba menutup kebenaran tetapi ia gagal mematahkan semangat rakyat Palestin," menurut pejabat itu.

Israel mengebom Semenanjung Gaza dari udara dan darat, melakukan kepungan dan melancarkan serangan darat sejak 7 Oktober.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan berkata jumlah korban yang direkodkan di Semenanjung Gaza telah mencecah 18,800 orang.

- BERNAMA-ANADOLU

Berita Harian X