Sabtu, 16 Disember 2023 | 3:54pm
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada permulaan mesyuarat dua hala sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun di Tokyo. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada permulaan mesyuarat dua hala sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun di Tokyo. - Foto REUTERS

Sidang kemuncak ASEAN-Jepun tingkat kerjasama keselamatan

TOKYO: Pemimpin Asia Tenggara dan Jepun komited mengukuhkan kerjasama keselamatan maritim melalui sidang kemuncak ASEAN-Jepun yang menumpukan kepada peningkatan hubungan ekonomi serta ketegasan serantau.

Pada sidang kemuncak itu, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, dilaporkan akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung penyediaan bot penyelamat dan dron bagi Malaysia.

Berdasarkan laporan penyiar Jepun, NHK, sidang kemuncak yang berlangsung di Tokyo hari ini akan diletakkan di bawah rangka kerja keselamatan baharu.

Komitmen kerjasama keselamatan maritim itu, berdasarkan suatu draf awal yang dilihat AFP, turut menumpukan kepada kerjasama ekonomi selain usaha mengekang sikap agresif China di Laut China Selatan sehingga merisaukan negara serantau.

Beijing membuat tuntutan ke atas hampir keseluruhan laut China Selatan, laluan perdagangan laut penting serantau, sehingga turut menimbulkan kebimbangan Washington.

Pemimpin juga dijangka menekankan keperluan untuk peraturan wilayah Indo-Pasifik terus bebas dan terbuka, selain penyelesaian pertikaian secara aman, dan menghormati integriti wilayah.

Hanya sembilan negara anggota ASEAN, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam menyertai sidang kemuncak kali ini.

Keanggotaan Myanmar digantung sementara sejak 2021 susulan rampasan kuasa oleh junta tentera menggulingkan kerajaan demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi.

Sidang kemuncak kali ini menandakan 50 tahun hubungan ASEAN dengan Jepun.

Jepun, yang juga rakan rapat Amerika Syarikat (AS), turut bersaing dalam tuntutan wilayah dengan China, sekali gus meningkatkan belanjawan ketenteraannya dan kerjasama keselamatan di rantau Asia-Pasifik.

Bulan lalu, Jepun bersetuju untuk memberikan pembiayaan ratusan juta dolar kepada Filipina bagi pembelian kapal pengawal pantai baharu dan untuk membekalkan sistem radar.

Filipina sebelum ini menyaksikan beberapa kes membabitkan 'gangguan' kapal China.

Jepun dan Filipina, juga bersetuju untuk memulakan perbincangan mengenai Perjanjian Akses Timbal Balik (RAA) yang akan merangkumi peruntukan penempatan tentera di tanah masing-masing.

September lalu, tentera dari negara ASEAN mengadakan latihan bersama pertama mereka, walaupun tuan rumah Indonesia menegaskan ia bukan pertempuran, dengan menumpukan kepada bidang seperti bantuan bencana dan rondaan maritim.

Sementara itu, menurut Kementerian Luar China, Beijing percaya bahawa sebarang kerjasama harus kondusif untuk memajukan sikap saling mempercayai antara negara serantau serta menggalakkan pembangunan bersama.

Jurucakapnya, Mao Ning, berkata pihaknya berharap negara berkaitan benar-benar dapat melakukan perkara yang kondusif kepada keamanan dan kestabilan serantau.

"Pada masa yang sama, sebarang kerjasama tidak seharusnya menyasarkan pihak ketiga," katanya

Menurut wakil Jepun, negara itu dijangka turut menggunakan sidang kemuncak kali ini untuk mendorong kerjasama tenaga, dengan mesyuarat inisiatif Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC).

Mesyuarat itu dijadual berlangsung pada Isnin, dan akan dihadiri secara maya oleh Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

Tokyo sedang meningkatkan sektor tenaga boleh diperbaharui tetapi mendapat kecaman daripada kumpulan alam sekitar kerana menyediakan pembiayaan awam berskala besar untuk projek bahan api fosil di seluruh Asia.

Jepun juga berusaha mendorong eksport teknologi bagi mengurangkan pelepasan oleh loji arang batu, seperti pembakaran bersama dengan ammonia dan pelepasan karbon.

Namun, pengkritik membidas inisiatif itu kerana dikatakan mahal dan belum berjaya dibuktikan keberkesanannya. - AFP

Berita Harian X