Sabtu, 16 Disember 2023 | 8:54am
Tiga tebusan Israel dalam tahanan Hamas (dari kiri) Alon Lulu Shamriz, Samer Fouad Al-Talalka dan Yotam Haim yang terbunuh apabila tentera Israel tersilap tembak ketika pertempuran di Gaza. - Foto REUTERS
Tiga tebusan Israel dalam tahanan Hamas (dari kiri) Alon Lulu Shamriz, Samer Fouad Al-Talalka dan Yotam Haim yang terbunuh apabila tentera Israel tersilap tembak ketika pertempuran di Gaza. - Foto REUTERS

Tentera Israel tersilap bunuh 3 tebusan

GAZA: Tentera Israel sedang menyiasat kes berhubung anggotanya yang tersilap membunuh tiga tebusan ketika masih dalam tahanan pejuang Hamas di Gaza.

Menurut jurucakapnya, tiga tebusan warga israel itu terbunuh ketika pertempuran Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dengan Hamas di Gaza.

Beliau memberi jaminan siasatan akan dilakukan secara telus terhadap tragedi yang mengakibatkan kematian mereka, dua daripadanya dikenali sebagai Yotam Haim dan Samer Fouad Al-Talalka.

Sementara itu, seorang lagi belum dikenal pasti identitinya oleh IDF tetapi Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang yang mewakili keluarga tebusan, menamakan mangsa ketiga sebagai Alon Lulu Shamriz.

"Semasa pertempuran sengit di Gaza, tentera menyangkakan tiga tebusan Israel sebagai ancaman kerana dilihat bersama pejuang Hamas.

"Akibatnya, tentera melepaskan tembakan ke arah mereka, menyebabkan ketiga-tiga tebusan berkenaan terbunuh," katanya.

Pada masa sama, tentera memaklumkan, Yotam dan Samer diculik pada 7 Oktober lalu di Kibbutz Kfar dan Kibbutz Nir Am. Kibbutz bermakna penempatan Israel.

Sejak beberapa hari lalu, rejim Israel terbabit dalam pertempuran sengit dengan pejuang Hamas, yang sering berperang dengan memakai pakaian awam kasual. - Foto AFP
Sejak beberapa hari lalu, rejim Israel terbabit dalam pertempuran sengit dengan pejuang Hamas, yang sering berperang dengan memakai pakaian awam kasual. - Foto AFP

Sementara itu, Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang, yang mewakili keluarga tebusan warga Israel, dibanjiri dengan ucapan takziah.

Sejak beberapa hari lalu, rejim Israel terbabit dalam pertempuran sengit dengan pejuang Hamas, yang sering berperang dengan memakai pakaian awam kasual.

Israel merekodkan kekalahan paling teruk pada Rabu lalu apabila 10 tenteranya terbunuh dalam tempoh 24 jam.

Hamas mula melancarkan serangan di beberapa bandar di Israel pada 7 Oktober lalu, yang menurut tentera Israel, menyebabkan kira-kira 1,200 orang terkorban selain 240 individu lagi diculik sebagai tebusan.

Israel kemudian melancarkan serangan balas, di mana menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, hampir 19,000 orang disahkan terbunuh setakat ini, dengan ribuan lagi dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan.

Ketika gencatan senjata selama seminggu pada akhir November, Hamas membebaskan lebih 100 wanita, kanak-kanak dan warga asing yang ditahan di Gaza sebagai pertukaran untuk membebaskan 240 wanita serta remaja Palestin.

Mereka ditahan kerana kesalahan seperti cubaan menikam, baling batu ke arah askar Israel atau mempunyai hubungan dengan pertubuhan musuh, dengan kebanyakannya diletakkan di bawah 'penahanan pentadbiran', tanpa dibicarakan di mahkamah.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut merakamkan ucapan takziah berhubung kejadian itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto REUTERS

"Bersama-sama dengan seluruh rakyat Israel, saya turut bersedih terhadap kematian itu," katanya.

Ribuan individu membantah di luar pangkalan tentera pusat Israel di Tel Aviv dengan membawa sepanduk bertulis 'Kami menuntut penyelesaian sekarang!'

Media Israel, Channel 12, melaporkan keluarga tebusan mendesak kerajaan Israel berusaha lebih keras bagi membebaskan baki tebusan.

Lebih 100 tahanan masih berada di Gaza dengan sebahagian mereka diisytiharkan meninggal dunia oleh pihak berkuasa Israel.

Semalam, tentera Israel mengesahkan menemui tiga mayat warga Israel dan dua tentera yang ditahan Hamas di Gaza. - REUTERS

Israel merekodkan kekalahan paling teruk pada Rabu lalu apabila 10 tenteranya terbunuh dalam tempoh 24 jam. - Foto AFP
Israel merekodkan kekalahan paling teruk pada Rabu lalu apabila 10 tenteranya terbunuh dalam tempoh 24 jam. - Foto AFP

Berita Harian X