Selasa, 12 Disember 2023 | 11:55pm
Asap tebal menjulang dari Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza selepas operasi pengeboman oleh tentera di Israel. - Foto AFP
Asap tebal menjulang dari Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza selepas operasi pengeboman oleh tentera di Israel. - Foto AFP

Israel terus 'hentam' Gaza, risiko kebuluran, penyakit meningkat

KAHERAH: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan pengagihan bantuan kepada penduduk Gaza yang kini kelaparan sebahagian besarnya terpaksa dihentikan akibat tentera Israel secara berterusan menyerang Gaza hari ini.

Peperangan tentera zionis itu dengan pejuang Hamas kini sudah memasuki bulan ketiga.

Di bandar utama selatan Gaza iaitu Khan Younis, tentera Israel mula melakukan serbuan pada minggu lalu dan penduduk berkata serangan kereta kebal kini tertumpu di pusat bandar.

Tentera Israel menahan lelaki Palestin ketika serbuan di kem pelarian Al-Amari dekat Ramallah, tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP
Tentera Israel menahan lelaki Palestin ketika serbuan di kem pelarian Al-Amari dekat Ramallah, tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP

Penduduk berkata kereta kebal beroperasi pada pagi ini di jalan di mana terletak rumah pemimpin Hamas di Gaza iaitu Yahya Al-Sinwar.

Seorang warga emas Palestin, Tawfik Abu Breika, berkata blok kediamannya di Khan Younis turut diserang dari udara oleh Israel pagi ini sehingga meruntuhkan beberapa bangunan dan menyebabkan kehilangan nyawa.

"Hati nurani dunia sudah mati, tiada kemanusiaan atau apa-apa jenis moral. Ini adalah bulan ketiga kita berdepan dengan kematian dan kemusnahan.

"ini adalah penghapusan etnik, pemusnahan sepenuhnya Semenanjung Gaza untuk menggantikan seluruh penduduk," katanya kepada Reuters.

Di selatan Rafah, pegawai kesihatan berkata 22 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara Israel yang mensasarkan rumah kediaman.

Pekerja kecemasan awam sedang mencari lebih ramai mangsa di bawah runtuhan.

Penduduk berkata, tembakan di Rafah, di mana tentera Israel bulan ini mengarahkan orang ramai untuk menyelamatkan diri, adalah antara yang paling berat dalam beberapa hari.

Imej satelit oleh Maxar Technologies menunjukkan khemah untuk pelarian Palestin yang dipindahkan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza, yang kini menjadi sasaran terbaharu serangan Israel. - Foto AFP
Imej satelit oleh Maxar Technologies menunjukkan khemah untuk pelarian Palestin yang dipindahkan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza, yang kini menjadi sasaran terbaharu serangan Israel. - Foto AFP

"Pada waktu malam kami tidak boleh tidur kerana pengeboman dan pada waktu pagi kami menjelajah jalan mencari makanan untuk anak-anak, tidak ada makanan," kata Abu Khalil, 40, bapa enam orang anak.

Serangan darat Israel kini sudah berkembang ke separuh selatan Semenanjung Gaza sejak gencatan senjata selama seminggu diadakan pada awal Disember.

Penduduk dan agensi bantuan berkata tiada lagi tempat yang selamat di wilayah di mana pengeboman menyebabkan sebahagian besar orang kehilangan tempat tinggal dan hampir semua kawasan terputus sepenuhnya daripada bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api.

Kebuluran semakin teruk, dengan Program Makanan Dunia PBB memaklumkan separuh daripada penduduk Gaza kelaparan.

Pejabat kemanusiaan PBB (OCHA) hari ini berkata pengagihan bantuan terhad berlaku di daerah Rafah, tetapi di seluruh Semenanjung Gaza, pengagihan bantuan sebahagian besarnya dihentikan sejak beberapa hari lalu, disebabkan oleh intensiti permusuhan dan sekatan pergerakan di sepanjang jalan utama. - REUTERS

Berita Harian X