Selasa, 12 Disember 2023 | 8:21am
Israel mengebom bandar utama di selatan Gaza semalam selepas Hamas memberi amaran tiada tebusan Israel akan meninggalkan wilayah itu hidup-hidup melainkan tuntutannya untuk membebaskan banduan dipenuhi. - Foto AGENSI
Israel mengebom bandar utama di selatan Gaza semalam selepas Hamas memberi amaran tiada tebusan Israel akan meninggalkan wilayah itu hidup-hidup melainkan tuntutannya untuk membebaskan banduan dipenuhi. - Foto AGENSI

Israel bom selatan Gaza susulan ancaman Hamas terhadap tebusan

GAZA: Israel mengebom bandar utama di selatan Gaza semalam selepas Hamas memberi amaran tiada tebusan Israel akan meninggalkan wilayah itu hidup-hidup melainkan tuntutannya untuk membebaskan banduan dipenuhi.

Pejuang Hamas sebelum ini memulakan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

Dalam insiden itu menurut Israel, sejumlah 1,200 orang maut dan Hamas turut menahan kira-kira 240 tebusan yang di bawa ke Gaza.

Susulan itu, Israel bertindak balas dengan serangan ketenteraan secara besar-besaran, mengakibatkan sebahagian besar Gaza musnah.

Gambar yang diambil di selatan Israel berhampiran sempadan Semenanjung Gaza menunjukkan asap berkepul ketika pengeboman, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara tentera Israel dan pejuang Hamas. - Foto AFP
Gambar yang diambil di selatan Israel berhampiran sempadan Semenanjung Gaza menunjukkan asap berkepul ketika pengeboman, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara tentera Israel dan pejuang Hamas. - Foto AFP

Menurut Kementerian Kesihatan Hamas, sekurang-kurangnya 17,997 orang terkorban kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Menurut seorang wartawan AFP, serangan Israel menyasarkan bandar Khan Yunis, manakala tentera Palestin Jihad Islam berkata, mereka meletupkan sebuah rumah di mana tentera Israel sedang melakukan pencarian terowong.

Tentera melaporkan, tembakan roket dari Gaza ke arah Israel dan pertempuran sengit berlaku di sekitar Bandar Gaza dan Khan Yunis semalam.

Hamas kelmarin memberi amaran Israel tidak akan menerima tawanan mereka hidup-hidup tanpa pertukaran dan rundingan serta memenuhi tuntutan yang ditetapkan.

Israel memberitahu, masih terdapat 137 orang tebusan di Gaza, manakala kumpulan aktivis berkata kira-kira 7,000 rakyat Palestin ditahan di penjara Israel.

Serangan dan pertempuran sengit selama berbulan-bulan menyebabkan sistem kesihatan di Gaza berada di ambang kehancuran dengan kebanyakan hospital tidak lagi berfungsi, malah hampir dua juta orang kehilangan tempat tinggal.

AFP yang melakukan tinjauan runtuhan Hospital Al-Shifa yang dibom di bandar Gaza menemui sekurang-kurangnya 30,000 orang berlindung di tengah-tengah runtuhan selepas tentera Israel menyerbu kemudahan perubatan itu bulan lalu.

"Hidup kami seakan berada di neraka, tiada elektrik, air, tepung, roti dan ubat untuk kanak-kanak yang semuanya sakit," kata Mohammed Daloul, 38, yang melarikan diri ke hospital itu bersama isteri dan tiga anaknya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 1.9 juta daripada 2.4 juta penduduk Gaza dipindahkan dari rumah mereka, dengan separuh daripada mereka dalam kalangan kanak-kanak. - AFP

Berita Harian X