Ahad, 10 Disember 2023 | 10:40am
Pilihan Raya Presiden Mesir berlangsung tiga hari bermula hari ini. - Foto REUTERS
Pilihan Raya Presiden Mesir berlangsung tiga hari bermula hari ini. - Foto REUTERS

Pilihan raya Mesir dibayangi perang Gaza

KAHERAH: Rakyat Mesir keluar mengundi hari ini untuk Pilihan Raya Presiden yang mana Abdel Fattah al-Sisi dijangka memenangi penggal ketiga ketika negara itu bergelut dengan krisis ekonomi dan perang di sempadannya dengan Gaza.

Kemenangan akan memberi Sisi tempoh enam tahun yang mana keutamaan segera untuk mengatasi inflasi hampir mencatat rekod, menguruskan kekurangan mata wang asing yang kronik dan menghalang limpahan daripada konflik antara Israel dan Palestin di Gaza.

Pengundian akan berlangsung dari 9 pagi hingga 9 malam (0700-1900 GMT) selama tiga hari, dengan keputusan akan diumumkan pada 18 Disember ini.

Pihak berkuasa dan pengulas yang dikawal ketat menggesa rakyat Mesir untuk keluar mengundi, walaupun sesetengah orang berkata mereka tidak sedar pilihan raya itu bakal berlangsung.

Bagaimanapun pengkritik melihat pilihan raya itu sebagai palsu selepas tindakan keras selama sedekad terhadap perbezaan pendapat. Badan media kerajaan juga menggelarnya sebagai langkah ke arah pluralisme politik.

Terdapat tiga calon layak untuk menentang Sisi, namun tiada seorang pun daripada mereka berprofil tinggi, malah ada pencabar berpotensi terpaksa berundur berikutan risiko yang dihadapi.

Sebagai ketua tentera, Sisi mengetuai penyingkiran presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi pada 2013, Mohamed Mursi dari Ikhwanul Muslimin, sebelum dipilih sebagai presiden pada tahun berikutnya dengan 97 peratus undian.

Sejak itu Sisi dilihat melakukan tindakan keras terhadap aktivis liberal dan kiri serta Islam yang didakwa untuk menstabilkan Mesir dan menentang ekstremisme Islam hingga menyaksikan puluhan ribu dipenjarakan.

Tetapi dia dipilih semula pada 2018, sekali lagi dengan 97 peratus. Beberapa penganalisis berkata, pilihan raya yang pada asalnya dijangka pada awal tahun depan dibawa ke hadapan supaya perubahan ekonomi termasuk penurunan nilai mata wang yang sudah lemah boleh dilaksanakan selepas pengundian.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, ia sedang berbincang dengan Mesir untuk mempersetujui pembiayaan tambahan di bawah program pinjaman sedia ada, AS$3 bilion (RM13.955 bilion) yang terhenti disebabkan kelewatan dalam penjualan aset negara dan peralihan yang dijanjikan ke arah kadar pertukaran yang lebih fleksibel.

"Semua petunjuk menunjukkan bahawa kami akan bergerak agak cepat selepas pilihan raya dari segi meneruskan pembaharuan IMF," kata Hany Genena, ketua ekonomi di Cairo Financial Holding, sebuah bank pelaburan - REUTERS

Berita Harian X