Sabtu, 9 Disember 2023 | 4:52pm
Gambar yang dirakam dari selatan Israel berhampiran sempadan dengan Semenanjung Gaza, hari ini, menunjukkan asap berkepul-kepul ketika serangan Israel di Gaza, di tengah-tengah pertempuran berterusan dengan kumpulan pejuang Hamas di Palestin. -AFP
Gambar yang dirakam dari selatan Israel berhampiran sempadan dengan Semenanjung Gaza, hari ini, menunjukkan asap berkepul-kepul ketika serangan Israel di Gaza, di tengah-tengah pertempuran berterusan dengan kumpulan pejuang Hamas di Palestin. -AFP

Iran beri amaran tindakan veto AS mengenai perang Gaza cetus 'letupan'

TEHRAN: Iran hari ini memberi amaran mengenai situasi ancaman 'letupan tidak terkawal' di Asia Barat, selepas Amerika Syarikat (AS) membantah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata dalam perang Gaza.

Diplomat tertinggi republik Islam itu, Hossein Amir-Abdollahian, turut merayu pembukaan segera sempadan Rafah-Mesir bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan masuk ke Semenanjung Gaza.

Kumpulan pejuang Islam Palestin, Hamas yang disokong Iran melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas selatan Israel pada 7 Oktober lalu, dikatakan membunuh kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam dan menjadikan kira-kira 240 sebagai tebusan menurut pegawai Israel.

AS sekutu utama Israel, berikrar untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas dan melancarkan serangan yang dikatakan oleh Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza membunuh lebih 17,400 orang di wilayah Palestin, juga kebanyakannya orang awam.

Semalam, AS membantah resolusi UNSC yang mahu menggesa gencatan senjata segera di Gaza, dengan mengatakan resolusi itu 'akan membiarkan Hamas mengulangi apa yang dilakukannya pada 7 Oktober'.

"Selagi AS menyokong jenayah rejim Zionis (Israel) dan kesinambungan perang... ada kemungkinan situasi letupan yang tidak terkawal di rantau ini," kata Amir-Abdollahian kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menerusi panggilan telefon, menurut kenyataan Kementerian Luar.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, memuji keputusan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggunakan Artikel 99 Piagam PBB sebagai 'tindakan berani untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa'.

Peperangan antara Israel dan Hamas berlaku semula sejak 1 Disember selepas gencatan senjata selama seminggu yang didakwa Israel dilanggar Hamas.

"Dakwaan Rejim Israel Hamas melanggar gencatan senjata adalah palsu sama sekali," katanya kepada Guterres, sambil menambah sokongan AS untuk Israel 'telah menyukarkan untuk mencapai gencatan senjata yang berkekalan'. -AFP

Berita Harian X