Jumaat, 8 Disember 2023 | 3:10pm
Penyokong memasang poster Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi pada bas di Kaherah, Mesir. - Foto AFP
Penyokong memasang poster Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi pada bas di Kaherah, Mesir. - Foto AFP

Dijangka tiada kejutan pilihan raya presiden Mesir

KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi ketika ini meraih sokongan untuk kekal bagi penggal ketiga, meskipun rasa tidak puas hari rakyat meningkat akibat krisis ekonomi terburuk.

Ahad hingga Selasa ini, rakyat Mesir berumur 18 tahun dan ke atas dijangka mengundi satu daripada empat calon dipertandingkan antaranya, bekas ketua tentera Sisi, yang berkuasa sejak beliau menggulingkan presiden yang dipilih Mohamed Morsi pada 2013.

Persediaan untuk pilihan raya di negara paling ramai penduduk di dunia Arab itu dibuat besar-besaran dengan hampir 9,400 pusat mengundi diwujudkan dan 15,000 kakitangan kehakiman bekerja sepanjang tiga hari mengundi.

Keputusan itu dijangka diumumkan pada 18 Disember depan kecuali undian pusingan kedua diperlukan.

Bagaimanapun, hampir 106 juta penduduk Mesir menjangkakan pusingan itu tidak akan berlaku, memandangkan rekod Sisi yang memperoleh lebih 96 peratus undi dalam dua pilihan raya masing-masing pada 2014 dan 2018.

Ada juga yang menjangkakan pilihan raya akan datang menjadi persaingan yang lebih sukar tetapi dua tokoh pembangkang utama, yang dilihat mempunyai harapan untuk menang, kini berada di penjara atau menunggu perbicaraan.

Namun di sebalik situasi politik semasa, isu utama melanda rakyat Mesir adalah keadaan ekonomi yang goyah, yang jatuh sejak awal tahun lalu.

Sejak Mac 2022, nilai mata wang Mesir hilang lebih separuh nilainya mengakibatkan harga pengguna meningkat dan inflasi berlegar menghampiri rekod tertinggi kira-kira 40 peratus.

Hampir semua barangan import Mesir dalam dolar dan sektor swasta terus menyusut, manakala subsidi awam hilang satu demi satu, di bawah tekanan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

IMF ketika ini menangguhkan semakan suku tahunan selepas meluluskan pinjaman AS$3 bilion (RM14 bilion) kepada Mesir tahun lalu dengan syarat 'perubahan kekal kepada rejim kadar pertukaran yang fleksibel'.

Menurut analisis Bloomberg, Mesir kini menjadi negara kedua, selepas Ukraine, yang paling berisiko krisis hutang.

Calon presiden, Hazem Omar dari Parti Rakyat Republikan menyatakan jaminan mengawal inflasi dengan memansuhkan VAT (Value Added Tax) ke atas bahan makanan asas.

Seorang lagi calon, Farid Zahran yang juga Ketua Parti Sosial Demokrat Mesir berhaluan kiri pula menjanjikan 'pembebasan semua tahanan' yang dianggarkan berjumlah ribuan sejak Sisi berkuasa serta 'pemansuhan undang-undang yang menindas'.

Seorang wartawan dan sarjana Mesir yang berpangkalan di Jerman, Hossam el-Hamalawy, berkata, Sisi dijangka akan meraih kemenangan tetapi ia 'tidak ada kaitan dengan populariti atau prestasi ekonomi yang cemerlang'

"Dia akan menang hanya kerana dia mengawal institusi eksekutif negara selain menghapuskan pesaing yang serius", tulisnya dalam sebuah artikel kepada AFP.

Di jalanan, poster dan sepanduk yang menyatakan sokongan untuk penyandang itu ada di mana-mana, berbanding poster calon lain. - AFP

Berita Harian X