Jumaat, 8 Disember 2023 | 1:11pm
Kelihatan kepulan asap daripada bangunan terbakar susulan serangan Israel di Rafah, selatan Gaza. - Foto AFP
Kelihatan kepulan asap daripada bangunan terbakar susulan serangan Israel di Rafah, selatan Gaza. - Foto AFP

Majlis Keselamatan PBB pertimbang desakan gencatan senjata di Gaza

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bermesyuarat hari ini bagi membincangkan konflik Gaza di bawah tekanan hebat Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Anggota UNSC akan mengundi bagi meluluskan resolusi desakan gencatan senjata segera dilaksanakan.

Bagaimanapun keputusan sesi perbincangan masih tidak jelas walaupun jumlah kematian orang awam di wilayah Palestin semakin meningkat dan kehidupan digambarkan sebagai malapetaka.

Rabu lalu, Guterres mengutuskan surat kepada UNSC dengan mengambil langkah luar biasa menggunakan Artikel 99 piagam PBB, yang menyatakan Setiausaha Agung boleh membawa 'apa-apa perkara yang pada pendapatnya boleh mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa'.

Berdekad lamanya, artikel berkenaan tidak digunakan oleh Setiausaha Agung dalam tugasnya.

"Kejadian pengeboman berterusan oleh Angkatan Pertahanan Israel, tanpa perlindungan atau keperluan penting untuk terus hidup, saya menjangkakan ketenteraman awam akan rosak sepenuhnya tidak lama lagi disebabkan keadaan yang terdesak, meletakkan bantuan kemanusiaan yang terhad menjadi mustahil," katanya.

Beliau juga menyeru 'gencatan senjata kemanusiaan' untuk mencegah 'malapetaka dengan implikasi yang tidak dapat dipulihkan untuk rakyat Palestin' dan seluruh Asia Barat.

Delegasi dari Ecuador, yang mempengerusikan majlis itu bulan ini, berkata Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah menyediakan draf resolusi yang akan diundi hari ini, selepas Guterres menghantar surat tergemparnya itu.

Versi dokumen terbaharu yang dilihat AFP kelmarin juga menyebut mengenai situasi kemanusiaan di Gaza sebagai 'malapetaka' dan 'menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera'.

Teks pendek itu juga menyeru untuk perlindungan orang awam, pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan yang masih ditahan oleh Hamas dan akses kemanusiaan ke Gaza.

Namun setakat ini, keputusan undian adalah tidak jelas - memandangkan empat draf awal yang dibentangkan sejak perang meletus ditolak oleh UNSC.

Hanya pada pertengahan November lalu, majlis itu akhirnya bersuara mengenai perang pada pertengahan November dengan meluluskan resolusi yang menggesa 'jeda dan koridor kemanusiaan' di Gaza dan bukannya gencatan senjata.

Draf resolusi awal ditolak secara veto oleh Amerika Syarikat (AS) yang juga sekutu paling kuat Israel yang memveto salah satu draf resolusi awal dan berkata idea gencatan senjata tidak akan 'berguna'.

"Pendirian kami tidak berubah. Kami sekali lagi berpendapat bahawa perkara terbaik yang boleh kami lakukan, untuk situasi di lapangan, adalah membiarkan diplomasi senyap di sebalik tabir yang sedang berjalan," kata timbalan duta AS, Robert Wood.

Sementara itu, Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard, berkata AS dan anggota UNSC mempunyai kewajipan yang jelas di bawah undang-undang antarabangsa untuk mencegah kekejaman.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour pula mengharapkan UNSC akan menerima pakai resolusi itu dan akan mendengar pendirian Setiausaha Agung PBB yang berani dan berprinsip. - AFP

Berita Harian X