Jumaat, 8 Disember 2023 | 7:22am
Orang ramai menunaikan solat jenayah mangsa pengeboman Israel di hospital al-Najjar di Rafah, selatan Gaza. - Foto AFP
Orang ramai menunaikan solat jenayah mangsa pengeboman Israel di hospital al-Najjar di Rafah, selatan Gaza. - Foto AFP

Perang Gaza beri tekanan teruk kepada ekonomi Palestin - IMF

WASHINGTON: Konflik berterusan antara Israel dan Palestin di Gaza dijangka "sangat menekan" ekonomi Palestin, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam.

"Kami menjangkakan konflik itu akan menjejaskan aktiviti ekonomi dengan teruk di Tebing Barat dan Gaza, yang mana sebelum konflik pun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menurun dalam jangka sederhana," kata Ketua Komunikasi IMF, Julie Kozack kepada pemberita.

Beliau berkata walaupun ekonomi Tebing Barat, Gaza dan Israel akan menjadi yang paling teruk terjejas, "impak muktamad akan bergantung pada tempoh dan intensiti konflik."

Tentera Israel meneruskan operasi di dalam Gaza dan berikrar memusnahkan Hamas susulan serangan rentas sempadan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober.

Angka kematian di Gaza kini meningkat melebihi 17,000, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas. Wilayah Palestin yang terkepung itu menjadi kawasan runtuhan akibat tindak balas Israel melalui udara, darat dan laut.

Minggu lalu IMF mengumumkan bahawa ia akan menyemak semula prospek ekonominya untuk negara-negara di Asia Barat dan Afrika Utara akibat konflik selain memberi amaran ia akan membawa akibat yang meluas untuk "rakyat dan ekonomi" di rantau berkenaan. - AFP

Berita Harian X