Khamis, 7 Disember 2023 | 2:47pm
Kabin mudah alih diletakkan di Givat Hamatos, penempatan haram Israel di wilayah timur Baitulmaqdis yang diduduki, di mana pembinaan lebih 1,700 rumah milik penduduk Yahudi dirancang. - Foto AFP
Kabin mudah alih diletakkan di Givat Hamatos, penempatan haram Israel di wilayah timur Baitulmaqdis yang diduduki, di mana pembinaan lebih 1,700 rumah milik penduduk Yahudi dirancang. - Foto AFP

Israel lulus lagi penempatan di tanah diduduki di Baitulmaqdis

BAITULMAQDIS: Pihak berkuasa Israel meluluskan pembinaan lebih 1,700 rumah baharu bagi penduduk Yahudi di Baitulmaqdis, menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ia dilihat sebagai strategi mengambil kesempatan ketika perang Israel-Palestin di Gaza, bagi memperluaskan lagi penempatan haram di tanah Palestin yang diduduki di timur Baitulmaqdis.

Wakil NGO Israel, Israel Peace Now, Hagit Ofran, berkata, separuh daripada 'kejiranan baharu' itu, yang merangkumi 1,738 unit rumah, akan berada di timur bandar itu.

"Jika bukan kerana perang (antara Israel dan Palestin), akan ada banyak isu. Ia adalah projek yang sangat bermasalah untuk kesinambungan negara Palestin antara selatan Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis," katanya kepada AFP.

Dalam satu kenyataan, NGO itu berkata, sebahagian daripada kejiranan Lower Aqueduct terletak di seberang Garis Hijau di timur Baitulmaqdis dan separuh lagi berada dalam Garis Hijau.

"Bagaimanapun, lokasinya yang strategik antara kejiranan Givat Hamatos dan Har Homa, menjadikannya sangat bermasalah dari sudut politik," katanya.

Garis Hijau merujuk kepada Garis Gencatan Senjata 1949 yang ditubuhkan pada akhir perang, yang menyebabkan kepada penubuhan Israel setahun sebelumnya.

Ia membahagikan bandar antara Baitulmaqdis barat yang ditadbir Israel dan Baitulmaqdis timur yang ditadbir oleh Jordan, sehingga Perang Enam Hari 1967.

Israel kemudian menduduki Baitulmaqdis timur pada 1967 dan selepas itu merampasnya dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kelmarin, Kementerian Luar Palestin, berkata Israel mengambil kesempatan ketika dunia tertumpu kepada perang di Gaza, untuk meluluskan pembinaan penempatan di Baitulmaqdis yang diduduki.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada rancangan untuk 'membanjiri Baitulmaqdis dengan penempatan dan penerokaan haram Yahudi, sekali gus memisahkannya daripada persekitaran Palestin'.

Menurut NGO anti-penempatan, Ir Amin, pula kira-kira 300,000 rakyat Palestin dan 200,000 warga Israel tinggal di timur Baitulmaqdis.

Penempatan Israel di wilayah yang diduduki adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa, namun tidak pernah diendahkan regim Zionis itu kerana tindakan tidak pernah diambil terhadapnya.

Pada 2016, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menerima pakai resolusi yang mengutuk pembinaan penempatan Israel.

"Penubuhan penempatan oleh Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk timur Baitulmaqdis, tidak sah di sisi undang-undang dan adalah pelanggaran terang-terangan di bawah undang-undang antarabangsa.

"Ia juga penghalang utama kepada pencapaian penyelesaian dua negara dan keamanan yang adil, berkekalan lagi menyeluruh," menurut resolusi itu. - AFP

Berita Harian X