Sabtu, 2 Disember 2023 | 3:02pm
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, mengunjungi pusat operasi dan pemantauan satelit ketika lawatan ke Pusat Kawalan Am di Direktorat Teknologi Aeroangkasa di Pyongyang, bagi pelancaran satelit ‘Malligyong-1’. - Foto AFP
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, mengunjungi pusat operasi dan pemantauan satelit ketika lawatan ke Pusat Kawalan Am di Direktorat Teknologi Aeroangkasa di Pyongyang, bagi pelancaran satelit ‘Malligyong-1’. - Foto AFP

Ganggu satelit bermakna mahu berperang - Korea Utara

SEOUL: Korea Utara hari ini menegaskan, mereka akan menganggap sebarang gangguan terhadap operasi satelitnya sebagai pengisytiharan perang dan akan bertindak balas sewajarnya jika aset strategik itu terancam.

Media kerajaan, KCNA, yang memetik jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Utara, melaporkan Pyongyang akan bertindak balas terhadap sebarang campur tangan Amerika Syarikat (AS) atau mana-mana negara di angkasa lepas.

"Sekiranya AS cuba melanggar wilayah sah sebuah negara berdaulat, dengan secara tidak sah dan tidak adil, menggunakan teknologi terkini sebagai senjata, maka kami akan bertindak balas.

"Kami akan mempertimbangkan tindakan untuk mempertahankan diri dengan melemahkan atau memusnahkan satelit pengintip AS," katanya dalam kenyataan itu.

Korea Utara sebelum ini berkata, mereka berjaya melancarkan satelit pengintip tentera pertamanya pada 21 November, dan menghantar gambar fasiliti tentera di tanah besar AS, Jepun dan wilayah AS di Guam.

Sementara itu, dalam laporan penyiar AS, RFA, yang ditanya sama ada Washington berupaya mengganggu operasi peninjauan satelit Korea Utara, Jurucakap Komando Angkasa AS berkata, AS boleh menggagalkan keupayaan satelit negara saingan menggunakan pelbagai cara,

Semalam AS menyasarkan Korea Utara dengan sekatan baharu selepas pelancaran satelit itu, atas tuduhan ada ejen yang yang didakwa memudahkan Pyongyang mengelakkan sekatan untuk mengumpul dana dan teknologi bagi program senjata pemusnah besar-besaran.

Korea Selatan juga semalam menyenaraihitamkan 11 warga Korea Utara kerana terbabit dalam pembangunan satelit dan peluru berpandu balistik negara itu, malah melarang pembabitan mereka dalam sebarang transaksi kewangan. - REUTERS

Berita Harian X