Jumaat, 1 Disember 2023 | 5:58pm
Kakitangan Program Pemuliharaan Marin dan Taman Tasmania dan Perkhidmatan Hidupan Liar mengukur seekor ikan paus juruterbang mati di pantai Bryans. - Foto AGENSI
Kakitangan Program Pemuliharaan Marin dan Taman Tasmania dan Perkhidmatan Hidupan Liar mengukur seekor ikan paus juruterbang mati di pantai Bryans. - Foto AGENSI

Lebih 30 paus pilot mati terdampar di pantai Tasmania

SYDNEY: Sekumpulan 34 ekor ikan paus pilot ditemukan mati terdampar di sebuah pantai di pulau Tasmania, Australia, menurut laporan media tempatan hari ini.

Masih belum jelas mengenai punca insiden yang berlaku di kawasan terpencil di Semenanjung Freycinet, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Program Konservasi Marin (MCP) negeri.

"Penilaian awal oleh doktor haiwan terhadap ikan paus pilot itu tidak menemukan sebarang petunjuk signifikan atau tanda kecederaan. Kami tidak tahu sebab ikan paus itu mati dan lazimnya puncanya sukar untuk ditentukan," menurut kenyataan itu.

Menurut laporan media, bangkai ikan paus pilot itu ditemukan di Pantai Bryans pada Selasa.

Oleh kerana lokasinya yang terpencil, tidak praktikal untuk mengeluarkan bangkai dari pantai, kata MCP.

Orang ramai diminta menjauhi kawasan berkenaan kerana bangkai ikan itu boleh menarik kehadiran ikan jerung dan menjadi kesalahan untuk mengambil atau memiliki sebahagian daripada ikan paus yang mati.

Insiden ikan paus pilot mati terdampar bukanlah sesuatu yang jarang berlaku di Tasmania dan beberapa bahagian lain di Australia.

Tahun lalu, lebih 200 ekor ikan paus pilot mati di Macquarie Bay yang cetek di barat Tasmania.

- BERNAMA-dpa

Berita Harian X