Khamis, 30 November 2023 | 10:04am
Tebusan yang diculik Hamas diserahkan kepada anggota Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di bawah pertukaran tebusan untuk tahanan dengan Israel. - Foto REUTERS
Tebusan yang diculik Hamas diserahkan kepada anggota Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di bawah pertukaran tebusan untuk tahanan dengan Israel. - Foto REUTERS

Hamas tidak puas hati cadangan lanjutan pemberhentian perang Israel

GAZA: Ketika pemberhentian perang Israel Palestin hampir tamat, pejuang Palestin, Hamas, dikatakan tidak berpuas hati dengan syarat Israel untuk melanjutkan lagi gencatan itu, menurut sumber Hamas.

"Apa yang dicadangkan dalam perbincangan untuk melanjutkan gencatan senjata bukanlah yang terbaik," kata sumber itu kepada AFP.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah rundingan yang diketuai negara pengantara, Qatar dan Mesir, bagi lanjutan kedua kepada pemberhentian perang berkenaan.

Usaha perdamaian itu setakat ini menyaksikan 60 tebusan yang ditawan dalam serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, semuanya wanita dan kanak-kanak, dibebaskan sebagai pertukaran untuk 180 tahanan penjara warga Palestin dan penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza.

Perjanjian sedia ada akan tamat pada Khamis, jam 7 pagi waktu tempatan (0500GMT).

Sumber memberitahu AFP, rundingan itu tertumpu kepada lanjutan pemberhentian perang selama 'dua hari atau lebih'.

Kata sumber, gerakan Palestin menuntut pengunduran kereta kebal Israel dan peralatan ketenteraan dari Semenanjung Gaza.

"Sebarang perbincangan mengenai pertukaran banduan tentera, tentera dan pegawai hanya boleh dimulakan selepas pencerobohan (Israel) dihentikan dan menarik balik kepungan yang mencengkam Gaza," kata sumber itu.

Pejuang Gaza menawan kira-kira 240 tawanan dari selatan Israel dalam serangan pada 7 Oktober lalu, yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dan membunuh kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pegawai Israel.

Sebagai tindak balas, Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas dan melancarkan kempen udara dan darat yang dikatakan kerajaan Hamas membunuh lebih 15,000 orang, yang juga kebanyakannya orang awam.

Antara tebusan yang masih ditahan Hamas ialah tentera yang dikecualikan daripada perjanjian pertukaran, yang mungkin akan digunakan sebagai subjek tawar-menawar yang penting. - AFP

Berita Harian X