Selasa, 28 November 2023 | 10:25pm
Gambar fail menunjukkan pasukan penyelamat bersiap untuk memasuki tapak kemalangan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas letupan gas di Baoma Mining Co. Ltd. di bandar Chifeng, Wilayah Autonomi Mongolia di utara China, pada 4 Disember 2016. - Foto AGENSI
Gambar fail menunjukkan pasukan penyelamat bersiap untuk memasuki tapak kemalangan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas letupan gas di Baoma Mining Co. Ltd. di bandar Chifeng, Wilayah Autonomi Mongolia di utara China, pada 4 Disember 2016. - Foto AGENSI

11 maut dalam kemalangan lombong di timur laut China

BEIJING: Sekurang-kurangnya 11 orang maut dalam kemalangan di lombong arang batu di wilayah Heilongjiang timur laut China, hari ini, menurut media kerajaan.

Insiden itu berlaku pada jam 2.40 petang waktu tempatan di sebuah lombong di luar bandar Shuangyashan di timur wilayah itu, kira-kira 130 kilometer dari sempadan Russia, menurut penyiar kerajaan CCTV.

"Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada kesan tekanan tanah," kata laporan itu, sambil menambah bahawa siasatan terhadap punca kemalangan itu kini sedang dijalankan.

Setakat jam 6.20 petang waktu tempatan, 11 orang didapati maut dalam kemalangan itu, namun tidak dinyatakan jika ada mangsa lain yang hilang atau cedera.

Pengeluaran arang batu mewakili industri utama di bandar Shuangyashan di timur laut, di mana suhu menurun kepada -17 darjah Celsius menjelang 7 malam tadi.

Keselamatan perlombongan di China juga bertambah baik dalam beberapa dekad kebelakangan ini, begitu juga dengan liputan media mengenai insiden besar, yang kebanyakannya pernah diabaikan.

Namun, kemalangan masih biasa dalam industri yang mempunyai rekod keselamatan yang lemah dan peraturan yang tidak dikuatkuasakan.

Tahun lalu, 245 orang maut dalam 168 kemalangan, manakala pada September, sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam kebakaran lombong arang batu di wilayah Guizhou, barat daya China, menurut angka rasmi.

Pada bulan Februari, lombong arang batu runtuh di wilayah utara Mongolia menyebabkan berpuluh-puluh orang dan kenderaan tertimbus di bawah serpihan.

Bagaimanapun pihak berkuasa tidak mendedahkan jumlah kematian terakhir selama berbulan-bulan, hanya menyatakan pada Jun bahawa 53 orang maut dalam kemalangan itu. - AFP

Berita Harian X