Isnin, 27 November 2023 | 4:14pm
Keadaan tingkat dua yang sesak di Hospital Kanak-kanak Beijing, daerah Xicheng, Beijing. - Foto REUTERS
Keadaan tingkat dua yang sesak di Hospital Kanak-kanak Beijing, daerah Xicheng, Beijing. - Foto REUTERS

Lonjakan penyakit pernafasan China tidak setinggi prapandemik

SHANGHAI: Lonjakan penyakit pernafasan yang dialami China pada masa ini tidak setinggi sebelum wabak COVID-19 dan tiada patogen baharu atau luar biasa ditemui dalam kes baru-baru ini.

Pemangku pengarah jabatan kesiapsiagaan dan pencegahan wabak dan pandemik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Maria Van Kerkhove, berkata jumlah itu didorong oleh peningkatan bilangan kanak-kanak yang dijangkiti patogen memandangkan sebelum ini selama dua tahun sekatan COVID-19 berjaya menjauhkan mereka daripada dijangkiti.

"Kami bertanya mengenai perbandingan sebelum wabak itu dan gelombang yang mereka lihat sekarang, puncaknya tidak setinggi apa yang mereka lihat pada tahun 2018-2019.

"Ini bukan petunjuk patogen baru. Ini dijangka dan inilah yang ditangani kebanyakan negara setahun atau dua tahun lalu," katanya kepada saluran berita kesihatan STAT dalam temu bual pada hari Jumaat.

Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, Mi Feng. berkata lonjakan penyakit pernafasan akut dikaitkan dengan peredaran serentak beberapa jenis patogen, yang paling ketara influenza.

Peningkatan itu menjadi isu global minggu lalu apabila WHO meminta China untuk mendapatkan maklumat lanjut, memetik laporan mengenai kelompok radang paru-paru yang tidak didiagnosis pada kanak-kanak oleh Program Pemantauan Penyakit Muncul.

China dan WHO menghadapi persoalan mengenai ketelusan pelaporan pada awal wabak itu, yang muncul di bandar Wuhan di tengah China pada akhir 2019.

WHO berkata, tiada patogen baharu atau luar biasa ditemui dalam penyakit baru-baru ini. - REUTERS

Berita Harian X